PASIR MAS: Seorang lelaki warga Thailand mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan cuba merogol seorang wanita berusia 61 tahun di Tanah Merah, Februari lalu.
Hamaya Romli, 38, yang juga penganggur membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.
Dia didakwa cuba merogol wanita berusia 61 tahun itu di kawasan kebun getah di Kampung Limau Purut, Tanah Merah, pada jam 9 pagi 23 Februari lalu.
Hamaya didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun serta sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Hajarul Falenna tidak menawarkan sebarang jaminan kerana lelaki terbabit adalah jiran dan mangsa trauma dengan kejadian itu, namun tertuduh dalam rayuannya mendakwa berada dalam keadaan mabuk sebelum cuba merogol mangsa.
"Saya minum arak dan mabuk sebelum keluar untuk memancing ikan. Saya hanya ingat saya memegang wanita itu," katanya.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 27 September ini untuk sebutan semula kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan