Sabtu, 25 September 2021

Pelawak, rakan terlibat kemalangan langgar penghantar makanan

Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
SEORANG penghantar makanan dilanggar sebuah kereta dipandu seorang wanita bersama seorang penumpang yang juga pelawak di Jalan Perniagaan Setia Utama, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU: Pelawak lelaki yang terlibat dalam beberapa siri kontroversi baru-baru ini terlibat dalam kemalangan apabila kenderaan dipandu rakan wanitanya berlanggar dengan seorang penghantar makanan, lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan itu dilaporkan berlaku pada pukul 12.43 tengah malam di Jalan Perniagaan Setia Utama, di sini.

Beliau berkata, pelawak berusia 35 tahun berkenaan dan pemandu wanita berusia 33 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Berdasarkan siasatan awal, kereta berkenaan telah membelok ke simpang kanan jalan sebelum dilanggar sebuah motosikal jenis Y15 yang datang dari arah bertentangan.

“Pemeriksaan mendapati kereta tersebut dipandu seorang wanita bersama penumpang lelaki iaitu rakannya yang merupakan seorang pelawak popular,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Tambah Raub, penunggang motosikal yang melakukan kerja Grab Food itu mengalami kecederaan luka di bahagian muka dan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultan Ismail (HSI). 

“Siasatan polis mendapati punca kemalangan akibat pemanduan cuai oleh pemandu kereta semasa hendak membelok masuk simpang.

“Sehubungan itu, tindakan saman telah dikeluarkan ke atas pemandu kereta terbabit di bawah Rule 3(2)(B) LNN166/59,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: