Jumaat, 24 September 2021

MPK sedia hadapi air pasang besar di Klang

Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
BEBERAPA anggota MPK memotong ranting kayu yang tumbang susulan hujan dan angin kencang yang berlaku di Klang, baru-baru ini. - FOTO/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

KLANG: Fenomena air pasang besar dijangka berlaku di perairan Selangor tidak lama lagi, justeru Majlis Perbandaran Klang (MPK) melalui Pasukan Tindakan Segera (Skuad Pantas) mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Langkah itu termasuklah, memastikan tiada saluran air terhalang dan sebagainya supaya setiap sungai atau parit sekitar daerah itu mampu menampung jumlah air yang banyak serta mengurangkan implikasi buruk banjir sekiranya berlaku.

Yang Dipertua MPK, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, skuad tersebut akan bersedia 24 jam sebagai pasukan bantuan awal sekiranya berlaku banjir di daerah itu. 

“Selain skuad Pantas, kami turut membuat beberapa persedian lain, termasuk melaksanakan kerja pembersihan parit membabitkan lapan kawasan di Klang. 

“Kita juga bersedia mewujudkan pos gerakan sementara di kawasan yang mengalami bencana banjir bagi membantu mangsa daripada segi keselamatan dan logistik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau menambah, pemantauan di kawasan sering berlakunya banjir turut dibuat jabatan penguatkuasa MPK melalui kamera litar tertutup. 

Sementara itu, semakan Utusan Malaysia terhadap air pasang surut menerusi Stesen Pelabuhan Klang, mendapati sehingga hujung tahun ini, paras air laut boleh meningkat melebihi 5 meter selama 32 hari dalam bulan ini, Oktober, November dan Disember.

Malah, tiga hari berturut-turut pada 7, 8 dan 9 Oktober dijangkakan air pasang mencapai paras tertinggi sehingga 5.6 meter dan situasi itu juga akan berlaku selama dua hari pada 5 dan 6 November sebelum keadaan air pasang kembali normal bermula pertengahan Disember.

Sementara itu, bagi esok (24 September) air pasang dijangka mencapai paras tertinggi 4.54 meter pada pukul 7.30 pagi dan 4.16 meter pada pukul 7.45 malam.

Sehubungan itu, Ahmad Fadzil meminta penduduk Klang yang terlibat dalam bencana itu menghubungi bilik gerakan MPK di talian 03-33701095 supaya tindakan sewajarnya boleh diambil pihaknya. 

Difahamkan, fenomena air pasang besar berlaku di daerah itu pada setiap bulan September. 

Pada tahun lalu, beberapa kawasan di Klang seperti Kampung Pendamar, Kampung Baru Telok Gong dan Kampung Tradisi mengalami banjir akibat fenomena tersebut. – UTUSAN

Tiada ulasan: