Rabu, 22 September 2021

Moratorium pinjaman tanpa faedah masih dibincangkan, kata Timbalan Menteri Kewangan

Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa berkata, perbincangan dengan 
institusi kewangan memerlukan masa kerana membabitkan keputusan komersial 
antara bank, lembaga pengarah dan pemegang sahamnya. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa berkata, kerajaan masih membincangkan cadangan pemberian moratorium pinjaman tanpa faedah terakru kepada rakyat dengan institusi perbankan.

Katanya, perbincangan itu memerlukan masa kerana membabitkan keputusan komersial antara bank, lembaga pengarah dan pemegang sahamnya.

“Namun satu rumusan kita akan usahakan dengan mengambil kira kesan jangka panjang terhadap peminjam, pendeposit, pelabur, institusi kewangan dan ekonomi negara.

“Kerajaan juga memahami masalah dihadapi rakyat dan akan mempertimbangkan pelbagai cadangan yang dikemukakan,” katanya pada sesi penggulungan Titah Diraja bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian susulan cadangan Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) supaya kerajaan mengusahakan pengecualian faedah untuk moratorium pinjaman bank bagi suku keempat tahun ini.

Sementara itu, Ahmad Maslan (BN-Pontian) menggesa kerajaan segera memutuskan perkara itu kerana pemberian moratorium pinjaman tanpa faedah terakru dinantikan rakyat.

“Kita difahamkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz (yang berkata) bahawa perkara itu sudah selesai dan salah satu perkara dalam perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang ialah menyelesaikan moratorium pinjaman tanpa faedah terakru.

“Tetapi jawapan timbalan menteri kewangan nampaknya perkara itu belum selesai.

“Saya harap perkara ini diselesaikan dengan kerajaan memutuskan tidak ada faedah terakru terhadap moratorium pinjaman. Itu diharapkan ramai di luar sana.”

Pada 14 Sept lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan sedia membincangkan cadangan pemberian moratorium pinjaman tanpa faedah terakru kepada rakyat bagi memudahkan pembayaran hutang isi rumah.

Katanya, perbincangan akan dibuat bersama Kementerian Kewangan berhubung perkara tersebut.

Bulan lalu, Gabenor Bank Negara, Nor Shamsiah Mohd Yunus dilaporkan berkata, pemansuhan faedah terakru dalam moratorium pinjaman hanya akan memberi impak jangka panjang kepada ekonomi negara.

Beliau berkata, faedah terakru bank di negara ini menerusi moratorium hampir RM1.4 trilion, iaitu bersamaan 73% daripada sistem pinjaman bank.

Katanya, faedah terakru dalam moratorium pinjaman untuk menampung kos pinjaman bank, termasuk pembayaran faedah deposit daripada bank serta pinjaman lain seperti bon yang dibuat pihak bank untuk memberi pinjaman kepada peminjam.

Tiada ulasan: