Sabtu, 25 September 2021

Menteri Wilayah semasa pentadbiran PH keluar minit sokongan, dedah portal


Sebuah portal mendedahkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mengeluarkan minit sokongan kepada sebuah syarikat pemaju swasta untuk mendapatkan kelulusan bagi memindahkan plot tanah pada 2019.

Portal Malaysianow mendakwa Menteri tersebut yang juga seorang Ahli Parlimen secara peribadi memastikan surat rayuan daripada pemaju tersebut ditangani sendiri oleh pembantunya dan datuk bandar.

Pemaju tersebut dikatakan menulis surat kepada Menteri itu memohon untuk mendapatkan sebuah plot tanah Kuala Lumpur bagi tujuan pembangunan bercampur.

Surat tersebut didakwa menulis surat rayuan kepada Menteri sekitar Disember 2018.

Terdahulu, permohonan tersebut sudah diluluskan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan pada Disember 2017 tetapi dibatalkan pada November 2018.

“Pihak kami juga amatlah berharap agar pihak YB Tuan dapat memberi sokongan penuh dalam menimbang semula keputusan pembatalan terhadap pemberimilikan tanah ini memandangkan pembangunan yang dicadangkan ini dapat membina keupayaan Usahawan Bumiputera seperti kami ini untuk memberi sumbangan yang besar terhadap ekonomi negera yang kurang memberangsangkan di masa kini,” kata isi kandungan dalam surat tersebut yang didakwa dilihat MalaysiaNow.

Selepas itu, Setiausaha Politik Menteri itu diarahkan merujuk perkara tersebut kepada pejabat tanah.

Kemudiaan, tiga bulan kemudiaan Setiausaha Politik itu memaklumkan kepada syarikat itu bahawa permohonan mereka dirujuk kepada pejabat tanah, dan pihak menteri “tiada halangan” berhubung perkara tersebut.

Pada November 2019, selepas satu lagi rayuan daripada syarikat sama, Menteri menulis nota kepada Ketua Setiausaha Negara dan Datuk Bandar Kuala Lumpur: “Harap dapat diluluskan kerana selaras dengan wawasan KWP”.

Semakan lanjut oleh MalaysiaNow turut mendedahkan beberapa nama yang biasa dilihat dalam lembaga pengarah syarikat tersebut, termasuk penyokong parti dan ahli perniagaan bergelar Datuk.

Persoalan timbul memandangkan permohonan Menteri tersebut dilakukan ketika kerajaan PH berkata tidak mahu mengamalkan budaya menulis surat sokongan oleh ahli politik bagi permohonan tender atau projek.

Tiada ulasan: