Selasa, 14 September 2021

Mengapa rayu untuk nafikan taraf kerakyatan adil, kumpulan peguam soal kerajaan

MALAYSIA NOW

Lawyers for Liberty berkata kebimbangan kerajaan berhubungan keselamtan negara adalah 'tidak masuk akal'.

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menyelar langkah kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan kerakyatan automatik bagi bayi yang dilahirkan di luar negara dari ibu warga Malaysia, mengatakan tidak sepatutnya wujud diskriminasi gender dalam pelaksanaan undang-undang negara.

Dalam sebuah kenyataan, Koordinator LFL Zaid Malek memetik dakwaan menteri dalam negeri sebelum ini yang mengatakan pemberian taraf kerakyatan kepada anak yang dilahirkan di luar negara boleh mengancam keselamatan negara dan kedaulatannya kerana mereka mungkin mendapat dua kerakyatan.

“Satu hal yang tak masuk akal untuk bayangkan kanak-kanak boleh menjadi ancaman kepada keselamatan negara dengan alasan-alasan tersebut,” katanya.

“Ini bukan alasan yang baik untuk menafikan hak wanita Malaysia untuk memilih kerakyatan anak-anak mereka, terutama kebimbangan yang sama tidak terpakai pada lelaki warga Malaysia yang berkahwin dengan wanita asing, di mana anak-anak mereka boleh mendapat salah satu daripada negara ibu bapanya.”

Tiada ulasan: