Sabtu, 11 September 2021

Kerajaan ulangi 7 tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran


Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Enam daripada tujuh tawaran itu pernah dibuat Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika penghujung pentadbirannya sebagai Perdana Menteri sebelum Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang susulan peletakan jawatan beliau pada 16 Ogos lalu, setelah tidak mendapat sokongan majoriti di Parlimen.

Bagaimanapun, tawaran Muhyiddin itu ditolak oleh pembangkang dan sekutu mereka yang terdiri daripada beberapa pemimpin UMNO, sambil menyifatkan langkah itu untuk menyelamatkan kedudukan Presiden Bersatu itu sebagai Perdana Menteri, serta Kerajaan PN.

Kecuali pembabitan anggota pembangkang ke dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN), semua tawaran terbaharu yang dibuat itu dan dipersetujui pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, pernah ditawarkan oleh Muhyiddin.

Tawaran berkenaan ialah:

1. Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen;

2. Pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat. Justeru, satu Rang UndangUndang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan;

3. Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun;

4. Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang;

5. Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama;

6. Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan; dan

7. Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Perdana Menteri berkata pelan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan adalah selaras dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu berhubung pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

“Kerajaan berpandangan fokus dan keutamaan yang perlu diberikan oleh semua pihak pada ketika ini adalah terhadap kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi Covid-19 serta pemulihan ekonomi.

“Tawaran ini juga bertujuan mewujudkan lanskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri berkata kerajaan komited untuk memperkenalkan lebih banyak transformasi dari semasa ke semasa.

“Transformasi kerajaan ini memaktubkan nilai-nilai murni dan muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum, dan budaya dalam konteks Keluarga Malaysia.

“Ini juga selaras dengan semangat untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” kata Ismail Sabri.

Tiada ulasan: