Sabtu, 11 September 2021

Kerajaan Selangor buat hal lagi, kehijauan Bukit Tabur terancam?


Belum reda isu penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) secara diam-diam, kini satu lagi kehijauan di bumi Selangor diancam selepas tular gambar aktiviti pembersihan hutan dijalankan di pinggir Bukit Tabur yang terletak di Taman Melawati.

Sebelum ini, kecoh isu HSKLU selepas Kerajaan PKR Selangor memutuskan untuk menyahwartakan separuh daripada HSKLU bagi tujuan pembangunan dan ia menerima kecaman daripada banyak pihak.

Terbaharu, sebuah pertubuhan alam sekitar, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKAMalaysia) Malaysia berkongsi dalam hantaran di Facebook beberapa gambar yang menunjukkan sedang berlaku aktiviti pembersihan hutan di pinggir Bukit Tabur berhampiran Permatang Kuartza Genting Klang.

“Kenal tempat ni? Macam mana boleh kontraktor halimunan dengan jentera halimunan dia boleh sampai keatas dan menjalankan kerja-kerja perbersihan hutan dikawasan lereng bukit nie yea?

“Syaratnya hikers tak boleh naik, tetapi jengkaut dan kontraktor ‘invisible’ boleh bersihkan hutan ke apa? Satu lagi contoh penguatkuasaan yang boleh diberikan markah ‘F’,” kata pertubuhan tersebut dalam hantarannya.

Bukit Tabur setinggi 396 meter (1,300 kaki) merupakan lokasi  terletaknya Permatang Kuartza Genting Klang.

Permatang Kuartza Genting Klang merupakan sebuah daik kuartza yang melalui sepanjang kawasan timur laut Kuala Lumpur dalam kawasan Bukit Lagong-Kanching-Klang Gates. Berukuran lebih 16 km panjang dan 200m lebar, ia adalah yang terpanjang seumpamanya di dunia.

Terdapat banyak flora di bukit ini yang mempunyai nilai perubatan dan sangat sinonim dengan para pendaki, ia terletaknya Hutan Simpanan Gombak dan Empangan Klang Gates di sisi bukit.

Puncaknya memberikan pemandangan empangan yang mengagumkan. Bukit ini mempunyai beberapa puncak yang boleh disusuri.

Walaupun Permatang Kuartza Genting Klang merupakan antara formasi geologi paling unik di Malaysia, ia kurang dilindungi dan kini berdepan dengan ancaman pembangunan perbandaran.

Terbaharu, rancangan Lebuhraya Lembah Klang Timur menjadi ancaman terkini terhadap Permatang Kuartza Genting Klang, memandangkan jajaran lebuh raya itu bakal melalui jalur kuartza tersebut.

Tiada ulasan: