Rabu, 22 September 2021

Kanak-kanak perempuan cedera digigit kera jantan

SEREMBAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 21 bulan cedera selepas diserang seekor kera jantan di halaman rumahnya di Taman Dusun Nyior, di sini, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun, berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita yang mendakwa anak buahnya cedera akibat digigit seekor kera di halaman rumah dan dibawa ke hospital berhampiran.

"Bertindak atas aduan, anggota PERHILITAN ke rumah mangsa. Sebaik tiba di rumah mangsa, kera yang menyerang masih ada atas pokok seberang jalan di hadapan rumah.

"Pihak jabatan menembak mati kera jantan dewasa dengan berat dianggarkan kira-kira lapan kilogram. Bangkai haiwan liar ini juga dibawa ke pejabat untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Mat berkata, kanak-kanak berkenaan kini masih lagi di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dan ditahan di wad bagi rawatan lanjut susulan mengalami kecederaan di bahagian belakang badan.

Beliau berkata, pihaknya akan membantu keluarga mangsa dengan memohon mereka mengisi borang tabung serangan binatang liar.

Tiada ulasan: