Selasa, 7 September 2021

Kanak-kanak hilang sejak semalam ditemui terapung di lombong

Polis berkata, mayat Muhammad Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid ditemui 
pasukan operasi mencari dari Balai Polis Gopeng dalam jarak kira-kira 80 
meter dari rumah keluarga mangsa.

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun yang dipercayai hilang petang semalam selepas keluar dari rumahnya di Lorong Jaya, Taman Kinta Baru, Gopeng ditemui terapung di tepi sebuah lombong pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar Hasron Nazri Hashim berkata, mayat Muhammad Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid ditemui pasukan operasi mencari dari Balai Polis Gopeng dalam jarak kira-kira 80 meter dari rumah keluarga mangsa pada pukul 9.45 pagi.

“Mayat mangsa dibawa naik oleh pihak Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng dan pemeriksaan awal pada fizikal mangsa telah dibuat dan didapati tiada elemen jenayah.

“Pengecaman mayat telah dibuat oleh keluarga mangsa. Mayat dihantar ke Hospital Kampar bagi tujuan bedah siasat dan siasatan diteruskan sebagai laporan mati mengejut,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini Hasron Nazri berkata, seorang kanak-kanak autisme dengan masalah hiperaktif, kurang pendengaran dan tidak boleh bercakap, disedari hilang oleh ibunya kira-kira 6.30 petang semalam.

Beliau berkata, pakaian terakhir mangsa sebelum hilang adalah berbaju T-shirt BoBoiBoy berwarna hijau dan memakai lampin pakai buang.

Tiada ulasan: