Selasa, 21 September 2021

Jangan Melencong, Tunjuk Surat Rentas Negeri – PDRM


ALOR SETAR: Pelancong yang mahu menikmati kemudahan gelembung pelancongan menerusi Projek Rintis Langkawi melalui Terminal Feri Kuala Kedah yang akan dibuka Khamis ini tidak dibenarkan melencong ke destinasi lain.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata berikutan itu semua pelancong dari luar Kedah dan Perlis perlu membawa surat kebenaran polis untuk tujuan pemeriksaan kerana mereka perlu merentas negeri.

Katanya, mereka perlu menunjukkan surat kebenaran itu walaupun mempunyai bukti tempahan tiket feri dan hotel ke pulau peranginan berkenaan.

“Ia bagi memastikan tiada yang cuba mengambil kesempatan dengan melencong ke negeri lain terlebih dulu, sebelum ke Langkawi.

“Pihak polis akan melihat surat kebenaran (polis) berdasarkan maklumat individu itu untuk memastikan tiada yang melencong dulu, sebelum datang ke sini,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, orang ramai juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan menjaga jarak fizikal, memakai pelitup muka dan menerima dos lengkap vaksin.

“Kita akan menempatkan pegawai dan anggota polis dengan dibantu beberapa agensi lain di kawasan Kuala Kedah supaya orang ramai mematuhi SOP, selain mengelak kesesakan di kawasan itu.

“Perancangan awal sudah diatur bagi mengelak berlaku kesesakan di Kuala Kedah pada hari itu kerana kita menjangkakan lebih ramai pelancong akan menggunakan laluan darat untuk menaiki feri di Terminal Feri Kuala Kedah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah berbincang dengan pengusaha tempat letak kereta persendirian di Kuala Kedah untuk memberi kemudahan terbaik kepada pelancong yang datang.

“Ini kerana, kawasan Kuala Kedah adalah terhad dan dibimbangi akan berlaku kesesakan jika tidak dikawal rapi.

“Orang ramai dinasihatkan supaya datang awal sekurang-kurangnya dua jam sebelum feri berlepas untuk memudahkan proses yang dibuat untuk ke Langkawi,” katanya.-BERITA HARIAN

Tiada ulasan: