KOTA KINABALU: Hujan lebat yang berterusan mengakibatkan jalan utama menghubungkan daerah Penampang-Tambunan terputus akibat runtuhan di Kilometer 52.35, di sini, hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan, berkata runtuhan jalan berhampiran Air Terjun Masakob itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 7 malam tadi.
Katanya, jalan runtuh kira-kira 30 meter, dipercayai akibat hujan lebat berterusan.
"Jalan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan dan kini dikategorikan sebagai berbahaya.
"Pengguna boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Ranau-Tambunan melalui Jalan Kimanis-Keningau," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Farhan berkata, bomba juga sudah memasang tanda amaran kepada pengguna jalan supaya tidak melalui jalan berkenaan.
Katanya, setakat ini, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kenderaan di tempat kejadian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan