Isnin, 13 September 2021

Gadis Norway kenang sejarah hitam di Malaysia, jadi mangsa scam Datuk ‘Rolls Royce’

MalaysiaNow

Lisa Lopez beberapa kali menemani ahli perniagaan Malaysia itu ke luar negara untuk menemui beberapa ahli politik berpengaruh namun kemudian menyedari simpanannya ditipu oleh ahli perniagaan tersebut.

Seorang gadis Norway yang pernah menuntut di sebuah universiti swasta di Malaysia tampil menceritakan pengalaman buruknya menjadi mangsa penipuan seorang lelaki bergelar Datuk yang jauh lebih tua darinya yang memujuknya menyerahkan duit simpanan untuk dijadikan “pelaburan”.

Lisa Lopez yang kini berusia 25 tahun berkata dia mendaftar sebagai pelajar di sebuah universiti swasta terkemuka di Kuala Lumpur sekitar lima tahun lalu dengan harapan dapat menyelesaikan pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan dalam tempoh tiga tahun.

Lopez berusia 21 tahun ketika bertemu dengan ahli perniagaan yang rapat dengan beberapa ahli politik berprofil tinggi di Malaysia itu.

MalaysiaNow tidak akan mendedahkan identiti identiti tersebut bagi menunggu pengesahan selanjutnya berhubung beberapa dokumen yang diperolehinya.

Lopez berkata dia terpengaruh dengan ahli perniagaan yang memujinya sebagai seorang memiliki “potensi dan kebijakan” sambil menambah ia adalah satu perkara yang bermakna buatnya kerana kemampuan intelektualnya jarang dihargai.

Dia berkata ketika itu, dirinya naif selain terpujuk ketika lelaki tersebut menaiki kereta Rolls Royce sekali gus membuatnya percaya “Datuk” itu adalah seorang usahawan berjaya walaupun beberapa bulan kemudian mendapati kereta itu sebenarnya disewa.

Dia turut berkata lelaki itu menawarkan latihan amali bersama syarikatnya yang kemudian diterima dengan gembira, membayangkan akan mendapat peluang untuk bekerja dalam beberapa projek melibatkan ahli-ahli politik dan syarikat besar.

“Saya begitu naif ketika itu, saya tengok yang baik sahaja dalam diri seseorang dan memang saya mahu tengok apa yang terbaik daripada seseorang dan kadang-kadang saya tak pedulikan rasa hati saya,” kata Lisa dalam temu bual baru-baru ini bagi sebuah video motivasi mengenai pemberdayaan diri di media sosial.

Lopez berkata dia kemudian mula melakukan lawatan dengan ahli perniagaan tersebut termasuk ke Amerika Syarikat di mana dia bertemu dengan beberapa ahli politik berpengaruh dan ahli perniagaan.

“Mereka itu termasuk gabenor Virginia Terry McAuliffe dan beberapa syarikat yang sepatutnya kami adakan kerjasama di North Carolina,” katanya kepada MalaysiaNow.

Dia berkata selain beberapa projek “kitar semula” dan “hartanah”, dia juga bahkan diyakinkan bahawa ahli perniagaan itu sedang mengusahakan sebuah projek pembikinan filem melibatkan Netflix.

“Itulah apa yang dia pernah beritahu. Dia kata anak perempuannya dan saya akan dapat peranan untuk jayakan filem itu dengan kerjasama seorang penerbit besar Australia dan Netflix,” kata Lopez.

RM70,000 ‘lesap’

Ketika itulah, lelaki itu mencadangkan Lopez melabur dalam syarikatnya.

Dalam sebuah pertemuan, lelaki itu memetik beberapa nama selebriti Hollywood yang turut melabur dan malahan menghubungi pelakon itu di hadapan Lopez untuk membuktikan dia bercakap benar.

Lopez berkata, untuk tujuan melabur, RM70,000 dikeluarkan daripada simpanannya.

Sebuah gambar oleh Lisa Lopez menunjukkan wang tunai yang 
dikeluarkan daripada simpanannya sebagai sebahagian
'pelaburan’ bersama seorang ahli perniagaan.

Namun apa yang menimbulkan keraguan ialah ahli perniagaan itu mengarahkannya menyerahkan wang tersebut secara tunai.

“Namun kemudian saya dapat tahu dia guna ‘duit pelaburan’ saya itu untuk sewa pesawat persendirian,” kata Lopez sambil menambah ahli perniagaan itu menjanjikan 40% keuntungan pelaburan tersebut.

Katanya, selepas menyerahkan wang tersebut, dia menerima e-mel dari seorang bernama “Tom” daripada syarikat sama yang memberikan jaminan wang tersebut telah dimasukkan ke dalam “akaun pelaburan kami”.

“Saya tak tahu Tom ini wujud atau tidak, atau sama ada dia lelaki sama yang memalsukan e-mel kepada saya,” katanya.

Lopez berkata dia mendapat berita mengejutkan dari seorang individu sehari selepas itu yang turut melabur wang dengan ahli perniagaan tersebut, mengatakan semua wang yang dilaburkan “lesap”.

Bimbang keselamatan

Kemudian, individu tersebut menasihatkan supaya keluar dari negara ini kerana nyawanya mungkin berdepan bahaya daripada orang-orang yang terlibat dengan ahli perniagaan tersebut.

Individu itu berkata dia mungkin akan menjadi mangsa seterusnya kerana “tahu terlalu banyak” perkara berhubung aktiviti-aktiviti yang dijalankan lelaki itu.

Lopez berkata merasakan malang kerana kerugian wang, selain rasa malu dan marah, dia mengambil jalan keluar dengan melakukan aktiviti tidak sihat termasuk mengambil dadah dan mengambil masa yang lama untuk dapat menjalani kehidupan stabil semula.

“Ketika itu, saya adalah mahasiswa, tapi saya sudah laburkan semua simpanan yang saya kumpul dari umur 15 tahun. Amaun itu mungkin kecil dari orang lain yang ditipunya berbanding puluhan ribu ringgit miliknya,” katanya kepada MalaysiaNow.

Lopez berkata dia mendapat semula wangnya selepas beberapa kali menghubungi ahli perniagaan tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata walaupun meninggalkan Malaysia, lelaki itu masih cuba untuk memujuknya kembali, namun kali ini menjanjikan biasiswa penuh di Univerisiti Nottingham Malaysia dengan memindahkan kredit dari kolejnya sebelum ini.

“Saya rasa tak selamat pergi ke sana semula, jadi saya tak akan kembali ke Malaysia,” kata Lopez.

Tiada ulasan: