Suntikan vaksin remaja itu akan menyasarkan 3.2 juta remaja di seluruh negara.
Remaja berusia seawal 12 tahun akan menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini dengan pelancaran program imunisasi bagi remaja yang merupakan fasa baru di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata fasa itu dijangka akan melibatkan 3.2 juta remaja.
Menurutnya, senarai PPV untuk remaja dapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara “walk-in” akan diumumkan pada Selasa.
Keutamaan akan diberi kepada sejumlah 1.1 juta remaja berusia 16 hingga 17 tahun yang bakal menduduki peperiksaan awam dan mereka yang memiliki komorbiditi.
Setakat ini, kerajaan memutuskan golongan itu akan diberikan vaksin Pfizer.
Dalam pada itu, pihak berkuasa kesihatan masih mengkaji penggunaan vaksin Sinovac bagi suntikan kepada golongan tersebut.
Menteri Pendidikan Radzi Jidin dalam sebuah hantaran Facebook berkata proses vaksinasi yang dijalankan pagi ini berlangsung dengan murid yang terlibat ditemani ibu bapa dan penjaga.
“Mereka perlu mendaftar, diambil suhu badan, diikuti sesi kaunseling dan persetujuan sebelum dibenarkan menerima suntikan vaksin,” katanya selepas melakukan lawatan bersama Khairy ke SMK Putrajaya Presint 8(1), Putrajaya pagi ini.
Menurutnya, kementerian pendidikan akan bekerjasama dengan kementerian kesihatan (KKM) dan Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam menyediakan petugas dan keperluan logistik untuk tujuan tersebut.
“Kerjasama strategik KPM dan KKM ini pastinya dapat mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi kepada murid sekolah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan