Rabu, 22 September 2021

Dakwaan kerajaan gagal sudah terjawab dengan pencapaian dikecapi


Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan dakwaan kerajaan gagal yang didalangi blok pembangkang ternyata tidak benar apabila ia sudah terjawab dengan beberapa pencapaian yang dikecapi hasil perancangan kerajaan terdahulu yang masih diteruskan sehingga sekarang.

Mantan Perdana Menteri berkata kritikan sedemikian kini tidak lagi kedengaran apabila beberapa bukti pencapaian yang melibatkan program pemulihan yang dirancang kerajaan sudah menampakkan hasil, malah kapasiti hospital juga semakin pulih dan negara sudah hampir mencapai sasaran imuniti berkelompok.

“Itu hashtag kerajaan gagal itu dia sekejap sahaja tapi realiti hari ini sudah pun terjawab.

“Walaupun orang kata angka masih tinggi tapi pecahan yang telah ditunjuk oleh Tan Sri Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) kes-kes yang agak besar itu sebahagiannya dalam kategori satu dan dua, sebab itu kalau kita pergi ke hospital jumlah pesakit yang serius kategori empat hingga lima sebegitu tidak ramai lagi,” katanya semasa wawancara dengan Astro Awani malam ini.

Situasi Covid-19 negara ini dilihat semakin pulih sejak minggu lalu apabila kes sembuh mengatasi kes jangkitan baharu selain lebih banyak kelonggaran diumumkan kerajaan.

Namun, terdapat sedikit kebimbangan melibatkan beberapa negeri seperti Sarawak, Perak dan Pahang selepas merekodkan kes jangkitan baharu yang tinggi.

Berbeza dengan keadaan sebelum ini sekitar bulan Mei, kapasiti hospital-hospital kerajaan khususnya melibatkan pesakit yang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) hampir mencapai paras maksimum dan memaksa kerajaan menyediakan alat bantuan pernafasan tambahan serta membuka pusat rawatan yang baharu bagi menampung pesakit.

Langkah cepat kerajaan berjaya mengawal keadaan dan menyelamatkan ribuan nyawa mereka yang dijangkiti Covid-19.

Selain itu, Muhyiddin berkata kejayaan program vaksinasi yang menyaksikan hampir semua orang dewasa sudah lengkap dos vaksin dan sasaran ke arah imuniti kelompok yang semakin hampir berjaya dicapai, membuktikan perancangan kerajaan berada di landasan yang tepat.

“Keduanya tentang pencapaian yang agak luar biasa ialah proses vaksinasi yang saya telah maklumkan tadi. Saya arahkan KJ (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) supaya kita jalan terus walaupun di peringkat awal itu tak berapa clear.

“Harga vaksin pun waktu itu orang tak tahu berapa harga. Saya kata beli. Jadi dengan sebab arahan saya, kita sudah dapat menguasai bekalan vaksin yang lebih daripada mencukupi,” katanya lagi.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan 24 Februari lalu mencapai sasaran awal apabila hampir 80 peratus populasi dewasa di Malaysia melengkapkan suntikan vaksin masing-masing.

Tegas Muhyiddin, meskipun terpaksa meletak jawatan dan tidak dapat menyelesaikan semua perancangan, namun sebahagian inisiatif kerajaan yang terdahulu masih diteruskan kerajaan sekarang yang dianggapnya masih sama dengan kerajaan lama semasa ditadbirnya.

“Perancangan dahulu waktu zaman saya, pelaksanaan pun sebahagian besar zaman saya tak selesai… Disambung oleh kerajaan yang ada kerajaan kita juga, saya kata kerajaan PN (Perikatan Nasional) juga.

“Pasal kalau tengok siapa Jemaah Menteri hampir sebahagian besarnya berubah adalah kerajaan yang hampir serupa dengan kerajaan dahulu untuk meneruskan perancangan yang sudah ditetapkan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Muhyiddin juga berkata sekiranya terdapat pihak yang mendakwa kerajaan gagal, ia adalah tidak benar malahan segala bentuk bantuan yang diumumkan semasa pentadbirannya dapat dirasai oleh setiap genap lapisan masyarakat sama ada di bandar atau luar bandar.

“Jadi sebab itu bagi saya ini adalah bukti bukan kerajaan gagal,” katanya lagi.

Menurut Muhyiddin, bantuan yang diluluskan kepada rakyat dan sektor ekonomi dalam mengharungi cabaran pandemik semasa pentadbirannya mencecah hampir RM500 bilion, ia terbesar dalam sejarah negara bagi memastikan semua individu yang terjejas dapat menerima bantuan yang sewajarnya.

Tiada ulasan: