Isnin, 20 September 2021

Dadah RM28.9 juta dilupuskan

 Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

AYOB Khan Mydin Pitchay melihat pelbagai jenis dadah yang akan dilupuskan dengan nilai dianggarkan RM28.91 juta pada sidang akhbar di IPK, Johor Bahru di Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU: Polis Johor akan melupuskan pelbagai jenis dadah berjumlah kira-kira 1,765 kilogram (kg) dan 3,717 liter yang dianggarkan bernilai RM28.91 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua dadah yang dilupuskan itu merupakan barang rampasan bagi 17,535 kes yang direkodkan antara tahun 2000 sehingga tahun lalu.

Katanya, antara dadah yang dilupuskan adalah jenis heroin sebanyak 191.3kg; kanabis (84.7kg); ketamin (24.5kg); methamphetamine (92.3kg); methylenedioxy methamphetamine (48.3kg) dan pelbagai jenis dadah lain seberat 1.32 tan.

“Pada tahun lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor telah melupuskan pelbagai jenis dadah yang dirampas iaitu 877.4 kg dan 251.63 liter dianggarkan bernilai RM14.6 juta melibatkan 3,844 kes yang selesai. 

“Pada hari ini, JSJN Johor sekali lagi akan melupuskan pelbagai jenis dadah sebanyak 1,765kg dan 3,717 liter yang dianggarkan bernilai RM28.91 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini. 

Tambah Ayob Khan, semua dadah dirampas akan dilupus dan dimusnahkan mengikut prosedur pelupusan barang kes yang ditetapkan. 

Kesemua barang kes itu akan dihantar ke Pusat Kualiti Alam di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan untuk dilupuskan menggunakan kaedah pelupusan secara insinerator (membakar dalam mesin khas).

Dalam pada itu, katanya, bermula 1 Januari hingga 13 September lalu, JSJN Johor sudah menahan seramai 9,313 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan dalam tempoh sama sudah membuat rampasan dadah sebanyak 10.91 tan.

“Keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM352.44 juta, turut disita adalah harta bernilai RM27.86 juta,” katanya.-UTUSAN  ONLINE

Tiada ulasan: