Sabtu, 18 September 2021

Cemas jika tidak dapat nyanyi nada tinggi – Aishah

 Oleh SAIRUL ZAMRI MISRANI

Aishah mengakui cuak kerana beranggapan sudah tidak boleh membawakan lagu-lagu bernada tinggi selepas dijangkiti dan rosak paru-paru akibat Covid-19 sebelum ini.

PETALING JAYA – Penyanyi bertaraf legenda, Aishah lega kerana mampu menyanyi dan membawa lagu bernada tinggi walaupun masih berada dalam fasa pemulihan selepas bertarung nyawa dengan virus maut Covid-19 sebelum ini.

Menerusi hantaran dalam Instagram, Aishah meluahkan keraguan tentang keupayaan nyanyiannya yang dirasakan telah merudum akibat wabak tersebut.

Namun, kerisauannya ternyata meleset kerana dia masih mampu membawakan lagu-lagu bernada tinggi setelah beberapa kali melakukan percubaan.

“Setelah sekian lama, saya seronok kerana dapat menyanyi semula. Saya cuba nyanyikan lagu sendiri, tahap keyakinan masih rendah tetapi saya seronok mendengar diri sendiri menyanyikan lagu sendiri.

“Camar Yang Pulang dan ya, saya masih dapat menyanyikan nota-nota yang tinggi itu! Tapi biasalah nyanyi nota tinggi seperti seseorang yang sebulan dah tak menyanyi sedangkan sebelum Covid-19, saya rajin jugalah buat latihan vokal bersama @cikgushafi bermula dari Anugerah Juara Lagu lepas.

“Tetapi sekurang-kurangnya saya tahu saya hanya perlu lakukan latihan vokal untuk menggerakkan memori otot vokal,” tulisnya.

Akui pemilik nama lengkap Wan Aishah Wan Ariffin, 56, dia cemas jika tidak mampu menyanyi dengan baik sementelah paru-parunya disahkan rosak 20 peratus akibat Covid-19.

Pada hantaran sama, pelantun lagu Janji Manismu itu juga sering tertanya-tanya sama ada kerosakan paru-paru yang dialami bersifat kekal atau sementara memandangkan organ tersebut dan peti suara sangat penting kepada individu yang mencari rezeki dalam bidang nyanyian.

“Masa saya nyanyi lagu Bahtera Merdeka di hospital itu saya cuak kerana saya nyanyi dengan key (not) yang lebih rendah.

“Jarang sangat saya nyanyi salah key, bagi lagu yang saya dah nyanyikan berpuluh tahun. Hal itu membuatkan saya tertanya tanya sama ada Covid-19 sudah rosakkan instrumen saya hingga secara semulajadi, suara saya turun key,” tulisnya lagi.

Dalam pada itu, Aishah seperti memberi gambaran bahawa dia akan kembali menghiburkan peminatnya diiringi Malaysia Philharmonic Orchestra (MPO) sekitar tahun depan.

“MPO jumpa anda tahun depan, insya-Allah,” tulisnya.

Terdahulu, Aishah dimasukkan ke Hospital Ampang, Selangor pada 30 Ogos lalu selepas disahkan positif Covid-19 dan mengalami simptom demam panas serta batuk.

Dua hari dirawat, oksigen dalam badannya menurun ke paras 88 peratus selepas doktor cuba membuka alat pernafasan yang digunakan.

Aishah disahkan bebas Covid-19 dan dibenarkan pulang ke rumah 12 hari selepas menerima rawatan. – K! ONLINE

Tiada ulasan: