Sabtu, 11 September 2021

BKC diperkenal kerajaan PN akan diteruskan hingga hujung tahun


Walaupun bertukar kerajaan, Bantuan Khas COVID-19 (BKC) yang diperkenal semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) akan diteruskan sehingga akhir tahun ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sebanyak RM12.3 bilion bantuan tunai disediakan kerajaan kepada hampir 10 juta penerima sehingga kini, ia merangkumi keseluruhan pembayaran BKC, Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan BPR Tambahan.

“Baki pembayaran BPR (Fasa 3 dan rayuan), BKC (Fasa 2 dan Fasa 3) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) juga dijangka akan disalurkan kepada penerima antara September hingga Disember 2021 dengan anggaran sebanyak RM4.8 bilion.

“Secara keseluruhannya, kerajaan telah memperuntukkan RM17.1 bilion pada tahun ini bagi pelaksanaan BPN 2.0, BPR, BPR Tambahan, BKC dan BKP yang sudah dan akan disalurkan kepada penerima yang layak,” katanya dipetik dalam portal.

Terdahulu, Tengku Zafrul membentang Laporan Agensi Pelaksanaan Ekonomi Dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) Ke-67.

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata, kerajaan ketika ini sedang berusaha mengukuhkan ketahanan dan kesiapsiagaan sistem kesihatan awam untuk menangani pandemik di masa hadapan, di samping bersedia berhadapa cabaran jangka panjang populasi yang semakin menua dan penyakit tidak berjangkit.

Beliau berkata, Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah pendekatan komprehensif untuk memulihkan keyakinan rakyat disamping membenarkan ekonomi dibuka dengan selamat.

PPN, katanya menilai kesediaan negara untuk mengurangkan sekatan secara holistik, mengambilkira keperluan untuk pelbagai aspek pemulihan.

Katanya, imunisasi penduduk Malaysia adalah kunci bagi pemulihan ekonomi Malaysia dan dijangka akan mencapai 100 peratus vaksinasi penuh pada akhir Oktober ini.

“Kegawatan ekonomi tidak memberi kesan yang sama kepada semua rakyat, malah rakyat juga tidak mampu memikul beban terpaksa menanggung kesan yang paling teruk.

“Justeru, komponen penting dalam agenda pemulihan PPN dan Belanjawan 2022 adalah ekonomi. Dalam jangka masa terdekat, sektor yang paling teruk dan isi rumah yang paling terjejas akan dibantu. Tonggak utama pemulihan ekonomi adalah penciptaan pekerjaan.

“Belanjawan 2022 juga akan dikonseptualisasikan sebagai belanjawan pemulihan bagi melengkapkan usaha reformasi jangka panjang kerajaan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12),” katanya.

Tiada ulasan: