Isnin, 20 September 2021

Beri peruntukan sama rata kepada pembangkang juga, kata Nazri

AGENDA DAILY

Pemimpin senior UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz mencadangkan supaya peruntukan yang sama rata turut diberikan kepada Ahli Parlimen (MP) blok pembangkang bagi membantu mereka membantu rakyat di kawasan.

MP Padang Rengas itu berkata tidak wajar sekiranya peruntukan tersebut tidak dibahagikan sama rata memandangkan MP pembangkang juga dipilih rakyat dan menggesa supaya tidak ada diskriminasi kepada blok pembangkang.

“Kerana kedua-duanya dipilih oleh rakyat dan peruntukan adalah sesuatu yang prorakyat.

“Tidak perlu kita diskriminasi antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, sebab semua itu akan pergi kepada rakyat,” katanya di Dewan Rakyat.

Ujarnya, rakyat tidak wajar dijadikan mangsa hanya kerana mereka mengundi wakil pembangkang kerana negara mengamalkan prinsip demokrasi.

“Dan bantuan ini mesti diberi kerana rakyat tidak bersalah dalam dia memilih kerana kita mengamalkan demokrasi,” katanya lagi.

Sebelum ini, mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin semasa mentadbir kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan peruntukan RM300,000 kepada setiap MP tanpa mengira latar belakang parti sebagai tambahan untuk program Bantuan Bakul Makanan sedia ada bagi membantu menyediakan keperluan asas penting buat golongan memerlukan.

Perkara dimaklumkan Muhyiddin semasa mengumumkan bantuan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) berjumlah RM150 bilion pada Jun, termasuk suntikan langsung fiskal sebanyak RM10 bilion.

Ia bagaimanapun menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan pemimpin UMNO sehingga terdapat MP yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan memaksa peletakan jawatannya sebagai PM.

Secara tradisinya, MP pembangkang tidak menerima peruntukan dari kerajaan pusat sehingga beberapa tahun kebelakangan ini.

Tiada ulasan: