Sabtu, 11 September 2021

Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara meninggal dunia

KLUANG: Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Gapar Gurrohu meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini pada jam 1.30 pagi ini.

Bendahari Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday, berkata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota dari 2004 hingga 2008 itu meninggal dunia pada usia 76 tahun.

Beliau berkata, Allahyarham meninggalkan balu, Datin Aminah @ Safiah Mohd Yusof berserta dua anak yang kini berkhidmat sebagai guru.

"Allahyarham yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Kluang yang ketiga berkhidmat dari 1996 hingga 2008 meninggalkan dua anak yang kedua-dua mereka adalah guru.

"Selepas tidak aktif berpolitik, Allahyarham menjadi Pengerusi Pertubuhan Anak Yatim Kluang dan menjalankan kerja amal," katanya ketika dihubungi hari ini.

Md Jais yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang dan bekas ADUN Mahkota selepas Gapar berkata, Allahyarham adalah seorang tokoh yang disegani dan pemergiannya satu kehilangan besar, terutama bagi orang Kluang.

"Beliau seorang yang tegas dalam membuat sebarang keputusan dan amat dihormati. Salam takziah untuk keluarganya dan semoga rohnya dicucuri rahmat," katanya.

Katanya, jenazah selamat dikebumikan di Kampung Bentong sebaik selesai solat Jumaat.

Tiada ulasan: