Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mahu membawa notis usul bagi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 untuk memecat mereka yang bertindak melompat masuk parti lain.
Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata menghantarnya kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk RUU Ahli Yang Bukan Ahli Kerajaan untuk dibentangkan pada persidangan Parlimen yang akan bermula 13 September ini.
“Saya berharap usul ini menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan pilihan raya pecat melalui sidang Parlimen, September ini.
“Saya berbesar hati dengan perbincangan di antara kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan blok pembangkang dan blok Bebas untuk memperkenalkan undang-undang mencegah lompat parti.
“Bagaimanapun saya menyarankan bentuk terbaik untuk undang-undang mencegah lompat parti adalah untuk memperkenalkan Akta Pemecatan Ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.
Melalui akta baharu itu nanti, katanya, pengundi boleh menarik semula mandat diberikan kepada wakil rakyat yang membelakangi mereka dan hak untuk memilih wakil rakyat baharu atau mengekalkan penyandang dikembalikan kepada pengundi.
“Setelah 64 tahun kita meraikan kemerdekaan, kini terdapat gejala berleluasa di mana wakil rakyat membelakangi bukan sahaja parti politik yang memberi watikah pelantikan mereka, tetapi juga masyarakat akar umbi yang bersusah payah meraih undi dari pintu ke pintu.
“Lebih-lebih lagi rakyat yang mengundi wakil rakyat berkenaan atas kepercayaan perwakilan mereka sebagai wakil parti politik dan manifesto dijanjikan,” katanya lagi.
Jelasnya, orang ramai mempersoalkan apa ertinya mengundi jika wakil rakyat boleh memajak gadai mandat yang diberikan selepas pilihan raya.
Katanya, pemimpin generasinya harus menerima persaingan antara parti politik sebagai sesuatu yang positif dan menguntungkan rakyat.
“Jika persaingan ini berdasarkan peraturan permainan yang munasabah dan bukan dicetuskan daripada perpecahan parti politik yang memudaratkan, persaingan politik perlu dimurnikan dan bukannya dihapuskan, ditekan, diisi dengan kebencian atau dihuru-harakan.
“Demi kemajuan negara, pemimpin politik generasi saya dan generasi lebih muda mesti berani bermuafakat serta berpakat untuk menjadikan politik itu pilihan kerjaya yang profesional, yang dihormati dan disegani, bukan dikeji atau dicaci.
“Tanggapan rakyat terhadap ahli politik hari ini sangat memalukan dan secara peribadi saya terkilan dengan keadaan ini,” katanya.
Sementara itu, Azalina juga mencadangkan penubuhan Kaukus Reformasi Parlimen dan Demokrasi Pelbagai Parti dalam kalangan Ahli Parlimen yang berminat bagi memperkasakan institusi Parlimen Malaysia dan memartabatkan sistem demokrasi berparlimen di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan