Khamis, 16 September 2021

PM umum 11 jenis perniagaan dibenar beroperasi pada Jumaat


Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan 17 jenis perniagaan di bawah sektor pekerjaan dan ekonomi yang dibenarkan beroperasi di negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Jumaat ini.

Ismail Sabri berkata perkara itu dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang memberi kelonggaran bagi sektor pekerjaan/ekonomi.

Beliau berkata turut dibenarkan beroperasi adalah kedai antik, kedai alat permainan, kedai permaidani dan kedai kandungan kreatif/ peralatan industri kreatif, kedai kegiatan luar termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain, kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi dan kedai tembakau termasuk vape atau rokok elektronik.

“Jenis perniagaan berikut dibenarkan kembali beroperasi dengan syarat vaksin yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat turut bersetuju untuk membenarkan pembekalan mineral dan bahan batuan termasuk pasir serta pergerakan dari tenemen mineral kuari atau tapak pengorekan ke premis atau tapak projek pembinaan infrastruktur awam yang utama dan kerja-kerja pembinaan bangunan serta premis industri/perkhidmatan perlu.

“Penjagaan dan penyelenggaraan di atas tenemen mineral, kuari dan tapak pengorekan serta di premis lesen mineral dan lesen memproses mineral dibenarkan bagi tujuan keselamatan untuk mengelakkan risiko kemalangan.

“Pengoperasian tenemen, mineral dan tapak pengorekan bagi tujuan penghasilan mineral dan bahan batuan termasuk pasir serta pengeksportan mineral dan bahan batuan termasuk pasir sungai ke luar negara dibenarkan,” katanya.

Perdana Menteri berkata selain itu, perladangan berasaskan kayu dan kenaf turut dibenarkan di bawah fasa sama.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata bagi negeri Fasa Dua PPN, semua pejabat swasta dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100 peratus sekiranya 80 peratus pekerja telah lengkap vaksin manakala kapasiti 80 peratus bagi 60 peratus pekerja telah lengkap vaksin dan kapasiti 60 peratus sekiranya 40 peratus pekerja lengkap vaksin.

Selain itu, turut dibenarkan beroperasi adalah kilang perabot manakala kapasiti kenderaan pekerja 100 peratus juga dibenarkan bagi penumpang lengkap vaksin.

Perdana Menteri turut mengumumkan kebenaran beroperasi bagi aktiviti sektor pengurusan perhutanan di negeri Fasa Dua dan Tiga PPN.

Ia merangkumi pengusahasilan hutan (pembalakan dan hasil hutan bukan kayu); perladangan hutan dalam hutan simpan kekal (HSK) dan pembangunan hutan di bawah Projek Pembangunan Hutan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Selain itu, mesyuarat secara bersemuka turut dibenarkan kepada individu yang telah lengkap vaksin di negeri Fasa Dua, Tiga dan Empat PPN.

Tiada ulasan: