KUALA LUMPUR: Sebanyak 19 rumah teres dua tingkat didiami 28 keluarga terjejas susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Height, Kemensah Height, dekat Ampang, hari ini.
Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.33 malam.
Berikutan itu, katanya, seramai lima anggota menaiki sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Anggota yang tiba jam 9.44 malam mendapati berlaku tanah runtuh yang menjejaskan bahagian belakang rumah terbabit.
"Kita berjaya mengeluarkan semua mangsa yang kemudian ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
"Siasatan mendapati kejadian itu berlaku kerana hujan dan struktur tanah lembut. Maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan