Rabu, 3 Februari 2021

Wanita kumpul dana bantu bayar kompaun penduduk kampung di Tenom

Malaysiakini

Memahami kesulitan yang sering dihadapi oleh penduduk di luar bandar, Norfadzlina Ramsah tergerak untuk mengumpulkan dana sebanyak RM8,000 apabila dia terbaca mengenai sekumpulan penduduk kampung di pekan Tenom yang dikompaun kerana keluar membeli barangan keperluan dan ubat-ubatan.

Menurut Free Malaysia Today, lapan orang - termasuk pemandu 'kereta sapu' - dalam perjalanan pada 27 Januari dari sebuah kampung pedalaman yang tidak disebutkan namanya ke bandar Tenom ketika mereka dikenakan denda. 

Menurut laporan itu, kompaun itu dikenakan kerana bas yang dinaiki mereka melebihi 50 peratus kapasiti penumpang seperti yang ditetapkan di bawah prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali hari ini mempertahankan keputusan pegawainya dan mengatakan bahawa meskipun bersimpati terhadap penduduk kampung itu, pihaknya perlu mengambil tindakan.

Jelasnya, pemandu 'kereta sapu' itu seharusnya memberi nasihat kepada penduduk kampung agar tidak melanggar larangan perjalanan atau menawarkan untuk membuat perjalanan secara berasingan.

“Saya terbaca berita mengenai ini melalui kawan saya yang berada di Semenanjung Malaysia awal pagi tadi.

"Sebagai seorang yang sentiasa membantu golongan susah di luar bandar dan sentiasa berurusan dengan penduduk di luar bandar, saya sangat memahami keperluan orang kampung yang ketiadaan barang asas dan kesulitan orang kampung untuk keluar ke pekan atau bandar berdekatan kerana ketiadaan kenderaan.

“Duit sebanyak RM1,000 untuk orang kampung adalah sangat besar sedangkan mereka boleh membeli keperluan dapur mereka untuk bertahan sebulan. 

"Dan ini menggerakkan hati saya untuk membantu mereka,” kata Norfadzlina kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Norfadzlina berkata kompaun tersebut telahpun dibayar oleh bekas menteri pembangunan infrasturktur Sabah, Peter Anthony sewaktu proses kutipan dana tersebut berjalan.

Kurang dari 24 jam, Norfadzlina melalui akaun Twitter “Lina Klasik” berjaya mengumpulkan RM8,000 daripada orang ramai.

Jumlah sumbangan awam yang dikumpul itu kemudian dimanfaatkan untuk menyediakan bantuan makanan kepada penduduk kampung berkenaan.

Bagi Norfadzlina, 40, yang juga pengasas Beluran Hope - organisasi bukan kerajaan yang berpangkalan di Beluran Sabah - aktiviti amal kebajikan bukanlah perkara baru untuknya kerana dia sudah telribat dengan aktiviti tersebut sejak 2014.

Ditanya sama ada dia akan meneruskan inisiatif sumbangan dana terhadap mereka yang memerlukan sewaktu pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP 2.0), katanya dia akan meneruskan membantu golongan yang terjejas memandangkan usaha tersebut telah dimulakan sepanjang tahun lalu lagi.

“Saya sepanjang tahun lalu menghantar bantuan makanan kepada golongan susah. Ya, saya akan berterusan membantu golongan seperti ini,” katanya.

Bagaimanapun, dia mencadangkan supaya bantuan bakul makanan ditingkatkan kepada semua penduduk di luar bandar bagi mengelakkan perkara sama yang berlaku terhadap penduduk Tenom yang dikompaun berulang lagi.

“Sekiranya tidak dapat ditingkatkan, benarkan NGO untuk bergerak dalam membagi bantuan kerana buat masa ini NGO mendapat kekangan daripada kerajaan untuk memberi bantuan,” katanya.

Pada 18 Januari lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam Pengumuman Khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (Permai), kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan segera melaksanakan Program Bakul Makanan, merangkumi barang makanan keperluan bernilai RM100 bagi setiap isi rumah yang layak.

PKP kali kedua mula dikuatkuasakan di beberapa negeri sejak 13 Januari lalu, sebelum dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak. Terbaru, ia dilanjutkan sehingga 18 Februari.

Tiada ulasan: