PETALING JAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata pihak universiti akan menjalankan semakan dalaman secara terperinci mengenai laporan media ramai pelajar universiti di negara ini terjebak dalam kancah “sugar baby-sugar daddy”.
Ketua Pengarah KPT Husaini Omar berkata, pihaknya memandang serius pendedahan dibuat media mengenai laman sesawang “student programme” dan laporan di Facebook mengenai peningkatan mendadak bilangan pelajar universiti yang terlibat dalam perkhidmatan “sugar baby”.
“Pihak KPT telah menghubungi beberapa universiti yang disenaraikan dalam laporan itu bagi mendapatkan maklumat mengenai kesahihan data yang disiarkan dalam beberapa media.
“Dalam hal ini, pihak universiti menjelaskan terdapat banyak keraguan terhadap data yang dikemukakan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, FMT melaporkan Malaysia menjadi “sarang” kepada 42,500 “sugar daddy”, ketiga paling tinggi di Asia selepas India (338,000) dan Indonesia (60,250), menurut SeekingArrangement laman “Sugar Dating” terbesar dunia.
Senarai itu diikuti Jepun yang mempunyai 32,500 “sugar daddy”, Hong Kong (28,600), Taiwan (27,300), Vietnam (12,000), Korea Selatan (7,000) dan Sri Lanka (5,000).
Ketua Pegawai Eksekutif Seeking Arrangement Brandon Wade berkata, jurang antara orang kaya dan miskin di Asia meningkat dalam dua dekad, mendorong lebih ramai wanita mencari lelaki lebih berusia kerana pelbagai faktor.
Ia disusuli kenyataan Sugarbook, platform temu janji “sugar daddy” terbesar di Asia melaporkan peningkatan 40% pelajar universiti mendaftar untuk menjadi “sugar baby” sejak Januari lalu, dengan menyatakan krisis kewangan dialami golongan terbabit.
Platform itu turut mendedahkan senarai “top 10” universiti “sugar baby” di Malaysia di Lembah Klang termasuk dua universiti awam, dengan seramai 12,705 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan terjebak dalam kancah itu.
Semalam, pemuda PAS mendesak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menyekat laman web dan aplikasi Sugarbook susulan semakin ramai rakyat cenderung terhadap gejala disifatkan tidak bermoral.
Dalam pada itu, Husaini berkata Sunway Education Group juga berkata agak mustahil 45% daripada pelajar Sunway University terlibat sebagai “sugar baby”.
Katanya, ini kerana jumlah pelajar Sunway University pada masa kini lebih kurang 7,000 sahaja.
“Oleh itu, laporan disiarkan oleh media bahawa seramai 3,105 pelajar Sunway University sebagai ‘sugar baby’ tidak munasabah.
“Pada 10 Feb lalu UiTM juga membuat laporan polis bagi menafikan laporan oleh pihak media,” katanya.
Husaini berkata, bagaimanapun KPT bersama pihak universiti akan menangani isu itu dengan lebih berkesan.
Katanya, pihak KPT juga akan melaksanakan sesi libat urus dengan
Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat
(KPWKM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.
“Agar satu program yang berterusan dan menyeluruh dapat dirangka dalam memastikan sahsiah pelajar dan imej institut pengajian tinggi (IPT) di Malaysia terjaga,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan