Jumaat, 12 Februari 2021

'Tolong anak saya perlukan darah'

Hazsyah Abdul Rahman

RISDA berbaring ditemani Radin, Risma dan Rinnie. FOTO ihsan Radin Anggung

Beluran: "Tolong, anak saya perlukan darah O positif." Itu rayuan seorang bapa, Radin Anggung, 61, yang memiliki tiga anak penghidap Talasemia.

Radin berkata, anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Beluran dan perlu menambah darah setiap bulan.

Menurutnya, baru-baru ini, dua anaknya ada mendapat bekalan darah tetapi seorang masih belum menerima darah tambahan.

"Tiga anak saya itu ialah Risma, 20, Risda, 15 dan Rinnie, 10. Risma dan Rinnie ada diberikan darah baru-baru ini. Tetapi Risda belum lagi kerana hospital kekurangan bekalan darah. Dia belum diberikan darah sejak akhir Disember tahun lalu.

"Ketika ini keadaannya sangat lemah, hilang selera makan dan dia hanya berbaring," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Radin yang bekerja sebagai tukang kebun berkata, begitulah keadaan anak-anaknya sekiranya lewat mendapat bekalan darah.

"Baru-baru ini saya sendiri terpaksa mencari penderma darah dan saya difahamkan banyak pusat perubatan turut kekurangan darah.

"Sebab itu perlu menunggu dan hal ini membuatkan saya bimbang keadaan anak-anak," katanya.

Justeru, Radin meminta semua masyarakat di Beluran khasnya dan Sabah agar menderma darah terutama darah jenis O positif demi pesakit yang memerlukan.

Radin yang memiliki lima anak berkata, dia tidak berkemampuan dan hanya memiliki pendapatan kasar sebulan RM500.

"Saya sebenarnya hanya ada gaji tetap RM200 sebulan dan kalau ada kerja lebih, maka dapatlah memperolehi pendapatan sehingga RM500.

"Sebab itu anak saya iaitu Risma tidak dapat menyambung pelajaran. Saya tidak dapat menampung pengajiannya.

"Dalam masa sama, saya perlu menampung kos persekolahan empat lagi anak saya," katanya.

Radin yang tinggal di Kampung Muanad Tiga berkata, perkara paling membimbangkan dia apabila anaknya perlu mendapatkan rawatan ke hospital.

"Kami tiada kenderaan dan tambang pergi dan balik pula sebanyak RM20 untuk seorang.

"Selalu anak terlewat mendapatkan rawatan kerana tiada wang membayar tambang, " katanya.

Tiada ulasan: