Ahad, 21 Februari 2021

Tindakan tegas pihak hasut murtad – Jakim

Oleh AMREE AHMAD
ABDUL AZIZ JUSOH

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang cuba menghasut orang Islam untuk murtad.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, pihak terlibat boleh didakwa di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam di beberapa negeri.

“Ini termasuk orang bukan Islam yang menghasut, memujuk, mempengaruhi atau memaksa orang Islam agar meninggalkan agama Islam atau tidak suka kepada ajaran Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan akhbar hari ini sebagai mengulas isu video tular yang memaparkan pengakuan biadab seorang lelaki India angkuh memurtadkan wanita Islam.

Bagaimanapun, polis bertindak pantas menyerbu rumah suspek berusia 29 tahun itu di Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru semalam selepas penduduk mengepung kediamannya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam kenyataan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 298 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Menjelaskan lebih lanjut, Abdul Aziz berkata, Jakim difahamkan isu itu dalam tindakan polis dan menyeru orang ramai menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Mana-mana orang Islam cuba keluar agama ini boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang sedang berkuat kuasa di beberapa negeri,” tegas beliau.

Johor juga sudah mewartakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda RM10,000 atau penjara empat tahun.

Setakat ini, hanya Wilayah-wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak belum lagi memuktamadkan enakmen itu selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa umat Islam supaya mempertingkat kefahaman dan penghayatan Islam secara menyeluruh melalui pegangan akidah, syariah dan akhlak terpuji.

Semua pihak ujar, Abdul Aziz, diingatkan agar tidak saling menyalahi dalam isu itu tetapi memperkukukuh institusi keluarga dan bersikap cakna ambil peduli ahli masyarakat.

“Jakim bersama pihak berkuasa agama di peringkat negeri seperti Jabatan Mufti sentiasa berusaha bagi memastikan akidah, syariah dan akhlak umat Islam terpelihara,” tambah beliau.

Langkah itu katanya, turut selaras dengan prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama yang diberi penekanan oleh pihak kerajaan pada masa kini ke atas umat Islam di seluruh negara.

Agensi itu turut mengucapkan tahniah atas keprihatinan semua pihak dalam sebarang isu membabitkan umat Islam dan dalam masa sama menyokong tindakan mereka dengan seadilnya.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: