KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak membidas perancangan kerajaan hendak mewujudkan gelembung perjalanan Malaysia-Indonesia ketika ini atas alasan untuk merancakkan semula industri pelancongan.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, ketika rakyat dilarang rentas daerah dan negeri sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan darurat, kerajaan pula seolah-olah menggalakkan pelawat asing merentas sempadan untuk melancong ke negara ini.
“Siapa yang bersetuju Malaysia wujudkan gelembung perjalanan Malaysia-Indonesia pada ketika ini untuk rancakkan semula industri pelancongan?
“Ketika rakyat dilarang rentas daerah, negeri, tetapi pelawat asing dibenar rentas sempadan negara untuk melancong ke sinikah,” soal beliau menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas lawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Indonesia pada Jumaat lalu.
Perdana Menteri menyifatkan lawatan rasminya ke negara itu atas undangan khas Presiden Joko Widodo amat bermakna dalam mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.
Muhyiddin berkata, pertemuan bersama Jokowi pada sesi ‘veranda talk’ adalah satu lagi pendekatan baharu arena diplomasi antarabangsa dalam situasi pandemik Covid-19.
Pada sesi itu, katanya, beliau membangkit dan mencadangkan langkah ke hadapan dalam beberapa isu seperti pelaburan dan perdagangan, pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), diskriminasi minyak sawit dan kerjasama dalam menangani pandemik Covid-19 serta pergolakan politik semasa di Myanmar.
Menurut Najib, beliau setuju jika dibuat dengan negara yang tiada atau kurang penularan wabak Covid-19 tempatan seperti Singapura, Brunei, Vietnam, Kemboja, Laos, Taiwan, Australia, New Zealand dan China.
Bagaimanapun, beliau berpandangan, negara tersebut mungkin tidak bersetuju ketika kes Covid-19 di Malaysia masih tinggi. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan