Rabu, 3 Februari 2021

Sudah 2 minggu anak sekolah, ibu bapa masih ‘menggagau’ cari buku teks

PETALING JAYA: Selepas dua minggu sesi persekolahan bermula, ramai ibu bapa masih tercari-cari buku teks untuk anak mereka belajar dari rumah kerana kedai buku lambat menerima stok daripada pembekal dan penerbit.

Seorang pemilik kedai buku di Melaka memberitahu FMT, permintaan tinggi untuk buku tingkatan lima tahun ini kerana ada set baharu buku teks dan kurikulum kebangsaan untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Bagaimanapun, pelanggan masih menunggu kerana beliau tidak boleh mendapat kepastian daripada pembekal bila stok buku akan dihantar ke kedainya.

“Mereka berjanji stok akan sampai pertengahan Januari tetapi hingga sekarang buku belum dihantar. Ramai ibu bapa yang sudah membuat tempahan tetapi tidak apa-apa untuk diberi kepada mereka. Kami juga meminta buku sastera Melayu dan Inggeris yang dicetak semula tetapi ini pun belum ada”.

Seorang lagi pemilik kedai buku di Selangor memberitahu, penjualan buku meningkat sejak awal tahun ini kerana ramai ibu bapa tidak dapat mengambil buku percuma anak mereka di sekolah.

“Tidak ramai juga yang mampu untuk mendapatkan peralatan bagi anak mereka akses buku elektronik. Ada masanya sambungan wifi tidak bagus – jadi mereka kena rujuk buku fizikal”.

Beliau mendakwa, satu penerbit kerajaan ditutup selama dua minggu baru baru ini untuk kerja memeriksa stok dan menyebabkan kelewatan pembekalan buku.

Mak Chee Kin.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (MAGPIE) Mak Chee Kin berkata, isu ibu bapa tidak dapat membeli buku teks, secara biasa atau dalam talian sudah berlarutan sejak bertahun.

Ketika sekolah ditutup kerana wabak Covid-19, ramai ibu bapa membuat salinan fotostat buku teks supaya pembelajaran anak mereka tidak terjejas ketika mengikuti kelas dalam talian.

“Ibu bapa juga terpaksa berulang-alik ke kedai, malangnya buku teks tidak ada. Ramai yang masih menunggu walaupun bukan sahaja sudah membuat tempahan tetapi sudah pun membuat pembayaran”.

Beliau mendakwa, ada pihak yang mendapat kontrak penerbitan “melalui pintu belakang ” dan menggesa kerajaan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.

Noor Azimah Abdul Rahim.

Presiden Badan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim berkata, ramai pelajar yang bergantung kepada buku walaupun andaian pembelajaran secara dalam talian berjaya .

“Buku teks sepatutnya dipulangkan akhir tahun 2020. Buku untuk tahun ini sepatutnya diedarkan minggu pertama Jan 2021. Jika jadual ini diikuti, stok buku boeh diisi semula awal, kata beliau kepada FMT.

“Sekarang sudah Februari dan banyak sekolah belum mengedar buku. Bagi sekolah yang sudah berbuat demikian buku tidak mencukupi. Kementerian Pendidikan gagal memastikan pengedaran buku dengan cepat”.

Menurut Noor Azimah, senarai buku elektronik tingkatan lima untuk kumpulan SPM 2021 juga tidak lengkap – masalah yang sama berlaku sebelum ini.

Beliau berkata, bukan semua pelajar boleh menikmati kemudahan buku elektronik di skrin besar. Ada yang menghadapi masalah membaca buku itu di skrin kecil telefon yang boleh mengakibatkan lebih banyak masalah.

Tiada ulasan: