Khamis, 11 Februari 2021

Polis kompaun 9 pengunjung pusat hiburan, 4 individu ditahan ingkar PKP

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat individu dan mengkompaun sembilan yang lain dalam serbuan di pusat hiburan dekat Dataran Mentari, Petaling Jaya menerusi operasi khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 8.45 malam itu, individu yang ditahan ialah pengurus pusat hiburan, seorang pekerja lelaki warga asing berusia 32 tahun serta dua pengunjung wanita warga asing, masing-masing berusia 33 dan 38 tahun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata sembilan yang dikompaun RM1,000 seorang adalah pengunjung pusat hiburan yang kesemuanya lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 57 tahun.

"Menerusi serbuan itu, kita merampas 10 botol minuman keras pelbagai jenama serta tiga unit peralatan audio.

"Pengurus pusat hiburan berusia 35 tahun itu direman selama tiga hari dan siasatan dijalankan ke atasnya mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 296 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kata beliau, seorang pekerja dan dua pelanggan warga asing ditahan selama 14 hari untuk disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan (perbuatan cuai yang boleh merebakkan jangkitan dan membahayakan nyawa).

Tiada ulasan: