PASIR PUTEH: Kecewa dengan tindakan pemaju yang gagal menyiapkan rumah yang dibeli sejak 13 tahun lalu menyebabkan beberapa pembeli di Taman Jaza Seri Pasu, di sini, menyiapkan sendiri rumah yang terbengkalai itu.
Rumah yang kebanyakannya dibeli anggota dan pesara tentera serta kakitangan awam itu sepatutnya boleh didiami pada 2008 selepas projek dimulakan pada 2006.
Pesara tentera, Amran Awang, 41, berkata dia sudah menghabiskan lebih RM50,000 bagi menyiapkan sendiri rumahnya memandangkan rumah itu sepatutnya diduduki selepas bersara sebagai tentera.
Katanya, dia menyambung sendiri kerja pembinaan rumahnya termasuk bekalan elektrik, air dan infrastruktur lain seperti jalan serta longkang.
"Kami rasa dianiaya kerana kerja membina dan menyediakan kemudahan ini sepatutnya disediakan pihak pemaju tetapi gagal dilaksanakan dalam tempoh lama iaitu sejak 2006 dengan janji rumah siap sepenuhnya pada 2008.
"Sepatutnya kami masuk ke rumah ini 13 tahun lalu, malangnya sekarang saya terpaksa menyiapkan sendiri rumah yang dibeli dan pada masa sama, duit bayaran rumah dipotong setiap bulan.
"Sehingga kini, saya sudah menyelesaikan 60 peratus bayaran rumah ini daripada keseluruhan pinjaman," katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, aduan berhubung projek perumahan terbengkalai itu sudah dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini, tetapi tiada tindakan susulan dilakukan setakat ini.
Amran berkata, setakat ini pembeli dimaklumkan syarikat pemaju yang bertanggungjawab sudah menyerahkan projek itu kepada syarikat lain, namun kedua-dua syarikat tidak bertanggungjawab menyelesaikan rumah pembeli meskipun bayaran rumah dipotong setiap bulan.
Rakannya, Mohd Suhairi Mohd Zainal Abidin,34, berkata dia terkilan kerana sudah membuat bayaran penuh rumah berharga RM65,000 menggunakan simpanannya ketika berkhidmat sebagai tentera.
Katanya, impian mendiami rumah sendiri musnah apabila bukan saja rumah gagal disiapkan sehingga kini, malah dia terpaksa mengeluarkan duit tambahan lain untuk menyiapkan rumah itu.
"Sepatutnya saya, isteri dan empat anak sudah boleh tinggal di rumah sendiri, malangnya keadaan menjadi sebaliknya. Kami berharap masalah ini mendapat perhatian KPKT, kerana kebanyakan pembeli adalah orang pencen yang mengharapkan ada rumah untuk didiami secara kekal," katanya.
Sementara itu, pengerusi taman berkenaan, Mohd Solahuddin Mohamad berkata, 180 unit rumah di situ dijual dengan harga antara RM65,000 hingga RM100,000 membabitkan rumah banglo dan teres.
"Pinjaman dipotong dengan kadar RM618 sebulan untuk bayaran rumah dan pada masa sama, saya membayar RM450 untuk sewa rumah sedangkan pencen diterima hanya RM1,500.
"Kami mohon campur tangan pihak berkaitan untuk membantu
menyelesaikan masalah ini bagi meringankan beban pembeli yang terpaksa
membayar tinggi tetapi rumah gagal didiami," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan