LANGKAWI: Seramai 19 orang termasuk pasangan pengantin ditahan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika sesi bergambar di tepi sungai berdekatan Taman Nilam di sini pada Rabu lalu.
Ketua Polis Langkawi, Superintenden Shariman Ashari berkata, pasangan pengantin dan pengiring yang berpakaian sedondon ditahan ketika sedang leka bergambar kenangan dengan berpakaian sedondon di kawasan tersebut pada pukul 6.30 petang.
Menurutnya, mereka yang ditahan itu ialah dua lelaki dan 17 wanita yang berusia antara 18 hingga 27 tahun.
Sementara itu, katanya, pasangan pengantin yang berasal dari pulau peranginan itu pula berusia 28 dan 24 tahun.
“Ketika ditahan, pasangan pengantin dan individu yang ditahan itu masih berpakaian sedondon untuk sesi bergambar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shariman, kesemua mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Langkawi dengan menggunakan kenderaan Black Maria untuk siasatan sebelum dikenakan tindakan kompaun.
“Mereka dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang atas kesalahan tersebut,” ujarnya.
Selain itu, beliau memberitahu, polis akan meningkatkan pemantauan di kawasan terbabit kerana didapati sering dijadikan lokasi orang ramai berkumpul dan bergambar.
Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi 22 saat menunjukkan kesemua mereka termasuk pengantin dan pengiring yang berpakaian sedondon ditahan polis. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan