Khamis, 11 Februari 2021

Manfaat menulis surat layang

 Faisal Tehrani

Syed Nadzri, bekas editor kumpulan NST pada 2016, pernah mengatakan seni surat layang, adalah satu seni menulis yang sedang mengalami kepupusan; “the art of surat layang, as is the art of writing, is dying”. Ini kerana hari ini, media sosial jauh lebih berpengaruh.

Dalam satu-satu keadaan misalnya fatwa atau komentar seorang ustaz di mimbar yang berat sebelah, atau memoir dengan ejaan yang banyak salah dan didanai sendiri penerbitannya juga semacam surat layang, akan tetapi surat layang mempunyai beberapa keistimewaan. Ini akan saya panjangkan kemudiannya.

Saya kira saya perlu membanyakkan korpus mengenai surat layang. Itu sebabnya saya menulis mengenai surat layang dalam pojok ini. Carian saya mengenai surat layang kelihatannya hanya ada beberapa orang penulis yang menukilkan mengenai aspek ini.

Antara lain tulisan A Samad Ismail dalam Berita Harian pada 30 Mac 1996 iaitu “Surat layang: semua jangan gugup” dan Kalimullah Hassan untuk Berita Minggu bertarikh 17 Okt 2004 dengan tajuk “Surat layang, hasad dengki, fitnah SMS, e-mel, hantui kejayaan Melayu”.

Catatan lain tentang surat layang ialah daripada Sidang Editor Dewan Masyarakat Nov 1988 dengan tajuk “Surat layang: taktik kotor politik?”. Juga oleh Adam A Kadir untuk Dewan Masyarakat 15 Feb 1982 dengan judulnya, “Surat layang: unsur budaya tepian”. Atau lagi oleh Mohd Asri Selamat di Dewan Masyarakat 1 Jun 1988 dengan kepala tulisan, “Bahayanya surat layang” dan “Skandal surat layang…yang aneh yang rumit” daripada Zulkifli Salleh di Dewan Masyarakat 1 Ogos 1996.

Jika ditekuni judul yang dikemukakan di atas, surat layang selalunya dihujahkan dengan kata yang tidak pernah membangunkan. Ia digandingkan dengan kata “jangan”, dipadankan dengan “dengki” atau “fitnah”, kemudian lagi dalam platform yang lebih berat waktu dahulu seperti Dewan Masyarakat ia dikaitkan dengan “kotor”, atau “budaya tepian” bahkan “bahaya”, sejauh “aneh” dan “rumit”.

Satu sebab yang mengakibatkan surat layang kini mengalami kenazakan ialah kerana SPRM pernah menjelaskan yang surat layang tanpa bukti kukuh tidak akan lagi dilayan. Pun, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan masih menimbangkan surat layang.

Laman agensi itu menjelaskan surat layang yang berbentuk aduan berasas masih diberi pertimbangan: “Suruhanjaya akan menerima semua jenis aduan termasuk surat layang bawah peruntukan Seksyen 23(3) Akta 700. Sekiranya Suruhanjaya mendapati aduan tersebut berasas, ianya akan dirujuk kepada pihak berkuasa tatatertib sesuatu agensi. Jika sekiranya Suruhanjaya mendapati aduan tersebut tidak berasas aduan ianya akan ditolak.”

Surat layang tidak boleh dianggap mentah-mentah sebagai hanya “fitnah” atau tohmahan jahat. Kita misalnya akur dengan kisah Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi, penuntut jurusan Kejuruteraan Awam UPNM, yang berusaha menyelamatkan Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia akibat didera beberapa pelajar lain.

Aiman menulis dua surat layang kepada pihak atas universiti setelah mendapati pegawai kadet laut Zulfarhan cedera dan terbaring tidak bermaya dengan seluruh badannya menggelembung dipenuhi tompok kehitaman dan darah pada kulitnya di bilik 4-10 asrama penginapan UPNM pada 6 petang, 22 Mei 2017.

Niat Aiman adalah untuk menolong. Maka dalam hal ini surat layang bukanlah satu fitnah, perbuatan batil, atau gejala keruntuhan moral. Sebaliknya ia satu usaha untuk membetulkan keadaan. Sayang terlambat.

Dalam hal ini, pengertian yang diberikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tentang surat layang iaitu; “surat yang tidak diketahui penulisnya (biasanya surat yang mengecam, menyebarkan berita buruk, atau berita palsu” tidaklah semestinya betul. Berita buruk mengenai sesuatu atau seseorang boleh jadi sahaja ia sesuatu yang betul dan benar untuk diperiksa dengan segera.

Dalam hal Zulfarhan, surat itu gagal tiba ke tangan pihak atasan. Mungkin sahaja jika ia sampai pada masanya, ia akan diabaikan pula kerana ia dilayan sebagai sesuatu yang negatif iaitu berita palsu, padahal memang ada seseorang yang sedang terbujur dan memerlukan perhatian.

Surat layang kadang-kala dilayangkan oleh seseorang yang mempunyai maklumat dalaman, khusus dalam politik. Apabila bidang politik disebut, memang dalam benak kita terbayangkan gejala jatuh-menjatuhkan yang mendorong penghantaran surat layang.

Akan tetapi sesetengah surat layang memang bertujuan untuk meluruskan apa yang bengkok. Salah laku dan perbuatan khianat sesetengah pemimpin mengakibatkan rakyat sengsara, maka surat layang menjadi wadah yang tinggal. Kita percaya masih lagi ada orang dalam politik yang jujur dan konsisten.

Dalam kalangan staf di pejabat, katakan penjawat awam, rasuah yang menjadi budaya tidak dapat dipadam dengan mudah. Baru-baru ini ada satu laporan daripada Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Shamshun Baharin Mohd Jamil, yang menyebut tangkapan membabitkan kumpulan pelaksana merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1,884 individu, ini diikuti kumpulan pengurusan dan profesional seramai 658 orang.

Beliau dilaporkan berkata, “budaya rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam di negara ini, ibarat barah yang dibimbangi akan merosakkan institusi kerajaan secara perlahan”. Seterusnya beliau menambah, “Kumpulan pengurusan tertinggi pula mencatatkan 65 individu. Kita tidak mahu kerana segelintir individu ini, akan merencatkan kelancaran pembangunan negara dan kredibiliti penjawat awam.”

Agaknya bagaimana seseorang dalam kitaran kerja paling bawah, katakan seorang Ketua Kerani yang berintegriti dapat membetulkan salah laku yang dilakukan oleh bosnya? Saya jawab: beliau tidak punya jalan. Jika beliau ingin mengadu ke unit integriti misalnya, dalam banyak keadaan, si pengadu yang akan disiasat dan diremehkan.

Dikhuatiri, Ketua Unit Integriti itu sendiri kawan baik si bos. Mereka main golf sama, berkenduri sama, bersauna sama, berjalan sama, bersarapan sama sehingga tahap berbesan.

Selalunya Ketua Kerani akan menyimpan rasa dan kemungkaran ini sehingga bersara. Di dalam kubur, Ketua Kerani akan ditanya mengapa beliau diam dan tidak menggunakan saluran yang ada. Bolehkah Ketua Kerani menjawab kepada malaikat penyiksa betapa sistem aduan di tempat kerjanya tidak berguna atau menulis ke atas mendedahkan diri sendiri adalah satu kerja sia-sia?

Ketua Kerani akan tetap dipersoalkan Tuhan, kerana Ketua Kerani ada cara, masih ada cara untuk membetulkan apa yang salah. Memang jika orang atas, atau bos-bos itu ketahuan, Ketua Kerani akan mengalami kecelakaan. Tetapi, jika Ketua Kerani memilih untuk melakukan satu kenekadan yang boleh menyelamatkan wang awam dari diselewengkan, yang mana ia jelas merupakan satu dosa besar; tidakkah malang jika beliau tidak melakukannya?

Betul jika tiada jalan lagi, dan jika betul benar dan memang berkepuk bukti, mengapa tidak sahaja Ketua Kerani membuat perkara yang betul seperti dituntut oleh paksi moral iaitu menuliskan surat layang. Ketua Kerani mungkin tidak akan menyelamatkan nyawa seperti halnya Zulfarhan, akan tetapi, Ketua Kerani akan menyelamatkan dana awam dari digunakan untuk tujuan peribadi.

Mungkin dana awam itu milik orang miskin, gelandangan, anak yatim, dan kaum lemah. Tidakkah itu juga menyelamatkan ‘nyawa’ mereka?

Memang Ketua Kerani pernah mendengar dorongan supaya dia tidak takut. Bahawa kononnya seseorang itu tidak perlu takut untuk tampil memberi maklumat sebarang penyalahgunaan kuasa dan rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini kerana kononnya mereka dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Akta 711).

Juga konon sekiranya Ketua Kerani itu dikenakan tindakan atau dipecat, majikan atau bosnya berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk dihadapkan ke mahkamah. Akan tetapi Ketua Kerani tahu dalam sepuluh keadaan, mungkin suku tak sampai satu pun kes yang pekerja itu bakal bernasib baik.

Ketua Kerani tahu untuk sampai ke peringkat bosnya itu didakwa dia akan mengalami pelbagai derita dan nestapa. Itu sebab orang memilih diam, kalau pun tidak bersekongkol.

Ketua Kerani tidak yakin kerana melihat salah guna kuasa berleluasa sampai peringkat tinggi. Ketua Kerani hanya pipit, dia bukan helang. Ketua Kerani tidak minum dalam air. Tidak menyelam minum air. Tetapi Ketua Kerani tidak mahu menerima siksaan kubur. Ketua Kerani tidak ada pilihan lain melainkan mengangkat pena dan membekalkan bukti, dengan nama Tuhan Yang Maha Benar dan Suci, Ketua Kerani pun menulis surat layang.

Semuanya bergantung kepada niat, dan niat Ketua Kerani sangat mulia. Berdasarkan dari dua kes yang saya teliti itu; satu yang melibatkan nyawa seorang remaja; dan kedua yang membabitkan dana awam, saya memutuskan terdapat surat layang ditulis dalam dengan tujuan positif dan sebetulnya untuk mendapat pahala. Bahkan dalam keadaan-keadaan di atas saya dapati ia dikarang untuk mengelakkan dosa dan nuraka.

Keadaan-keadaan di atas membuktikan bahawa sistem sedia ada dalam pentadbiran (dan politik) masih sangat tidak telus di mana tiada pilihan lain dapat dilakukan untuk berbenar. Keadaan lain ialah jika kita betul-betul ingin menista surat layang, kita seharusnya tidak menyekat seseorang atau individu dari bersuara.

Surat layang muncul ekoran pandangan atau pendapat yang diredam. Sudah tentu, pandangan seseorang itu perlu ada pertanggungjawaban sepenuhnya agar ia tidak berbentuk fitnah atau pembohongan. Tetapi adakah eko-sistem menyediakan semua ini?

Sistem gagal, pemimpin gagal, dekan gagal, majikan juga gagal sehingga meletakkan orang yang berhati nurani dan penuh cita sempurna dalam situasi serba salah serba serbi. Mereka yang bercita bencana pula duduk di atas. Jika sistem kita cukup telus, dan juga penyelewengan itu minimal, maka tiada orang perlu menulis surat layang untuk menyelamatkan nyawa kawannya.

Jika sistem kita bagus, dan Unit Integriti buat kerja, Ketua Kerani tidak akan bawa rahsia pejabat sampai ke liang lahad untuk diperiksa Malaikat Kubur.

Dalam keadaan darurat, di mana suara anda tidak pun tiba ke gegendang mereka yang patut, ucapkan nama Tuhan dan tulislah surat layang. Moga-moga anda akan dapat menyelamatkan nyawa seseorang, demi Tuhan anda akan dapat menyelamatkan hak orang terbanyak.

Tiada ulasan: