TAMPIN: Lemang merupakan makanan tradisional yang sinonim dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri di negara ini namun di daerah ini, ia juga mendapat tempahan menggalakkan semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Lebih menarik, di Kampung Chenaga, Repah di sini, terdapat lemang daun lerek yang telah diusahakan 10 orang bersaudara sejak 10 tahun yang lalu dan ia mendapat sambutan masyarakat berbilang bangsa.
Pengusahanya, Abu Bakar Ahmad, 50, seminggu sebelum mana-mana perayaan, mereka akan mencari terlebih dahulu sekurang-kurangnya 1,000 daun lerek yang merupakan tumbuhan herba di dalam hutan bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Banyak yang dijual di sini ialah lemang beralaskan daun pisang, tapi bermula dengan perniagaan saudara di Gombak, Selangor, kami gunakan idea daun lerek ini sebagai pengganti kepada daun pisang.
“Hari ini, hari pertama jualan lemang daun lerek bagi perayaan Tahun Baru Cina dan kami sudah dapat 160 tempahan daripada masyarakat berbilang bangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut Abu Bakar, lemang berkenaan juga akan dijual di gerai di tepi jalan di Kampung Repah sehingga Ahad ini bagi memberi peluang orang ramai merasai sendiri keistimewaan lemang daun lerek.
“Lemang daun lerek tidak perlu dibelah sebaliknya hanya perlu ditarik keluar sahaja dan lebih memudahkan penggemar lemang. Kami juga masih kekal dengan harga yang sama sejak 10 tahun lalu iaitu RM10 bagi sebatang lemang,” katanya.
Sementara itu, menurutnya, pada musim perayaan Aidilfitri, jualan lemang yang dijual mereka mampu mencecah sebanyak 2,000 batang.
“Masa musim perayaan memang rasa seronok, lemang ini sudah ada peminatnya sendiri malah ia juga dicari-cari ketika sambutan Deepavali malah semasa Tahun Baharu Cina kali ini,” katanya. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan