JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengingatkan masyarakat bahawa budaya mengeluarkan kenyataan jelik terhadap mana-mana pihak bukan budaya masyarakat tempatan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sehubungan itu masyarakat negara ini diminta untuk kembali menghayati lima prinsip Rukun Negara.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan seorang individu yang dikenali dengan nama Faruq Sungib memuat naik satu kenyataan jelik memperlekeh kerabat Diraja Johor di laman sosial Facebook, baru-baru ini.
“Berhubung tindakan individu ini, kita telah menerima empat laporan polis baharu dalam tahun ini.
“Individu itu telah dikenal pasti sebagai seorang lelaki warganegara tempatan, berusia 25 tahun dan menetap di Batu Pahat,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Tambah Ayob Khan, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Terdahulu, pemilik akaun bernama Faruq Sungib itu memuat naik hantaran mengatakan ‘kerabat J’ bermegah dengan kemewahan ketika rakyat sedang bergelut pada waktu penularan pandemik Covid-19.
Ayob Khan berkata, pihaknya sekali lagi memberi peringatan kepada masyarakat agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang mampu menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Budaya mengeluarkan kenyataan jelik ini bukan budaya masyarakat kita, bukan budaya orang Malaysia atau orang Asia.
“Jangan bawa budaya luar masuk Malaysia, jangan ada gerakan yang timbulkan kegusaran terhadap Institusi Diraja kerana kita akan ambil tindakan,” tegasnya.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan