Kuala Lumpur: Daging kerbau sejuk beku dari India yang dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang dilepaskan kemasukannya ke negara ini selepas siasatan selesai dilakukan.
Menurut sumber, daging sejuk beku berharga RM4.3 juta itu berasal dari loji (pusat penyembelihan dan pembungkusan) yang diiktiraf kerajaan.
Mengulas lanjut mengenai kekeliruan yang timbul hinggakan pihaknya menahan kemasukan daging sejuk beku itu, sumber berkata, pengeksport menggunakan sekurang-kurangnya tiga cop atau logo halal pada setiap bungkusan daging berkenaan.
"Setiap bungkusan ada tiga cop atau logo halal. Satu diiktiraf di Malaysia dan dua untuk negara lain. Itu timbul kekeliruan.
"Apabila kita semak dengan Jakim serta melakukan perbincangan, kita akhirnya putuskan daging berkenaan dilepaskan kemasukannya ke negara ini.
"Bagaimanapun, kita sudah memaklumkan pengilang dari negara pengeksport supaya menggunakan hanya satu cop/logo halal untuk membawa masuk daging sejuk beku ke Malaysia," katanya.
Katanya, MAQIS juga akan memperbaiki polisi mengenai syarat import itu.
"Sebelum ini, syarat kita nyatakan ada cop halal yang kerajaan Malaysia iktiraf. Tidak cakap hanya satu cop.
"Pengilang ini eksport serata dunia jadi nak jimat atau cepat, mereka cop saja semua logo halal negara yang dihantar bekalannya," katanya.
Harian Metro semalam melaporkan lebih 335 tan daging kerbau sejuk beku dari India dirampas ketika pemeriksaan di Terminal Kontena Utara Butterworth (NBCT), di Butterworth sejak Isnin hingga semalam.
Pengarah MAQIS Pulau Pinang Zarina Ramli berkata, hasil pemeriksaan mendapati keseluruhan dagangan terbabit menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa negara ini.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
Tiada ulasan:
Catat Ulasan