Sinar Harian
Muhammad Hakim Hussien memiliki warna biru pada mata sebelah kanan
sejak lahir. - Foto Sinar Harian
TEMERLOH:
Unik dan jarang ditemui, namun warna biru pada sebelah mata adalah
keistimewaan yang dimiliki seorang kanak-kanak pekak dan bisu di Kampung
Bukit Kelulut di sini.
Muhammad Hakim
Hussien, 4, adalah anak tunggal kepada pasangan orang kurang upaya
(OKU), Hussien Amid, 44, dan Siti Hajar Abu, 35, yang juga pekak dan
bisu.
Dalam
istilah perubatan ia dikenali 'heterochromia' merupakan fenomena yang
jarang berlaku iaitu seorang individu mempunyai dua warna mata berbeza,
boleh terjadi sejak lahir disebabkan genetik atau kerana kecederaan dan
penggunaan ubat-ubatan.
Menurut ibu saudara Siti Hajar, Aminah Jaafar, 58, cucu saudaranya itu memiliki warna biru pada mata sebelah kanan sejak lahir.
"Dalam
keluarga kami setakat ini tiada yang pernah memiliki warna mata
sebegini dan hanya Muhammad Hakim memiliki keistimewaan tersebut.
"Setakat
ini penglihatannya normal. Dia pun seorang kanak-kanak yang ceria dan
manja dengan saya kerana setiap petang saya akan menjaganya di rumah
atas nasihat doktor atas faktor keselamatan," katanya kepada Sinar
Harian.
Kanak-kanak istimewa itu ditemui
ketika kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung
(JKKK) Bukit Kelulut, Abu Kasim Kamat dan Pegawai Pertahanan Daerah
Temerloh, Muhammad Ikram Harun di rumah keluarga tersebut pada Khamis.
Rumah pasangan tersebut terjejas akibat ribut yang melanda pada Jumaat lalu.
Aminah
yang bekerja di bahagian landskap Majlis Perbandaran Temerloh (MPT)
memberitahu, Siti Hajar adalah anak bongsu daripada enam beradik dan
hanya seorang daripada adik-beradiknya normal, selebihnya mengalami
pekak dan bisu.
"Siti Hajar telah
berkahwin dan menduduki rumah keluarganya sejak 2010. Kini hanya dia
bekerja sebagai tukang cuci kontrak dengan pendapatan bersih RM500,
manakala suaminya tidak dapat bekerja menjaga anak mereka di rumah.
"Namun, Siti Hajar dan suaminya ada menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," jelasnya.
Sementara
itu, Abu Kasim berkata, kerosakan yang dialami rumah pasangan OKU itu
akan dibaiki oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP)
selain dibina tandas baharu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan