Rabu, 3 Februari 2021

Jururawat hospital UiTM meninggal dipercayai akibat COVID-19

KUALA LUMPUR: Seorang jururawat yang sedang sarat mengandung anak kelima meninggal dunia awal pagi tadi dipercayai akibat komplikasi akibat COVID-19.

Menurut muatnaik di laman Facebook Fakulti Perubatan Hospital Teknologi Mara (UiTM), Artini Dzolkarnaini menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Teknologi Mara (UiTM) pada jam kira-kira 5.30 pagi.

Allahyarham ialah jururawat di Jabatan Perubatan Rehabilitasi Pusat Perubatan UiTM di Sungai Buloh, dekat sini.

Melalui muatnaik itu juga, seluruh warga Fakulti Perubatan UiTM merakamkan ucapan salam takziah buat Allahyarham.

"Kami mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, ...Amin," menurut kiriman itu.

Difahamkan, Allahyarham yang mengandung 30 minggu dirawat di hospital itu selepas disahkan positif COVID-19.

Berdasarkan muatnaik di laman sosial yang dikongsi antara rakan dan teman sekerja Allahyarham, bayinya selamat dilahirkan secara pembedahan.

Bayinya kini dipercayai ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU) di hospital sama.

Allahyarham yang juga pengarang buku 'Penjagaan dan Pemulihan Jantung' oleh UiTM, akan menyambut hari lahir ke-41 pada 26 Februari ini.

Usaha menemubual keluarga itu belum dapat dibuat setakat ini kerana mereka belum sedia bercakap dengan media.

Tiada ulasan: