Khamis, 18 Februari 2021

Jiran tak diundang: Sisa Lynas bersebelahan kampung Felda.

Malaysiakini

Jauh daripada kesibukan Kuantan, penduduk Felda di sekitar sempadan Pahang-Terengganu menjalani kehidupan yang ringkas dan seadanya.

Sejak bertahun lamanya, kualiti hidup mereka semakin baik hasil pendapatan daripada program tanaman kelapa sawit yang dimulakan kerajaan pada 1970-an. Program itu mengubah hidup penduduk setempat, yang menjadi pekebun kecil serta meraih manfaat sejak beberapa generasi.

Bagaimanapun, kehidupan mereka terganggu sejak sedekad lalu berikutan kerakusan industri yang mencemarkan kawasan mereka, dengan parit-parit bertukar menjadi warna merah akibat perlombongan bauksit.

Sedikit-sebanyak, mereka dapat kembali kepada kehidupan normal apabila kerajaan mengenakan moratorium terhadap perlombongan bauksit sejak 2016, bagi memberi ruang untuk penguatkuasaan undang-undang.

Bagaimanapun, mereka berdepan satu lagi industri besar di kawasan mereka, dengan kilang pelupusan sisa nadir bumi beradioaktif yang tidak jauh daripada kampung mereka.

Lynas Malayia bukan nama asing bagi penduduk tempatan, begitu juga loji pemprosesan nadir bumi yang terletak 30km ke timur Gebeng bukan menjadi kebimbangan mereka. Sebaliknya isu loji tersebut yang dekat dengan Kuantan lebih menghantui penduduk bandar berkenaan.

Malang sekali, rancangan untuk membina kemudahan sisa industri mega di Bukit Ketam dan penempatan semula sisa Lynas dari Gebeng, bererti hasil toksik daripada nadir bumi itu hanya 3 km jauhnya dari perkampungan Felda terdekat - Felda Neram Satu.

Penempatan Felda lain pula berada dalam lingkungan 10km daripada kemudahan sisa itu termasuklah Felda Bukit Kuantan, Felda Bukit Sagu dan Felda Bukit Goh.

Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) ke atas kemudahan pelupusan kekal (PDF) Lynas mendedahkan bahawa ia merupakan sebahagian daripada tapak pelupusan sisa berjadual industri pelbagai kategori (MCISWDS) yang lebih besar - yang akan menempatkan lebih daripada sekadar sisa Lynas.

Pemantauan 100 tahun

Komponen Lynas, yang merupakan sepertiga daripada tapak itu, akan memerlukan pemantauan radiologi dan alam sekitar untuk sekurang-kurangnya 100 tahun.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa cadangan MCISWDS di Bukit Ketam, dengan saiz 283 padang bola sepak, bertempat di tanah telah dikeluarkan daripada Hutan Simpan Bukit Kuantan.

Firma swasta yang majoriti sahamnya dimiliki oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, akan menjadi kontraktor untuk MCISWDS.

Meskipun laporan EIA untuk PDF Lynas terbuka selama sebulan untuk bacaan umum sejak 27 Jan, tidak banyak perhatian didapati untuk projek mega tersebut.

Penduduk yang terkesan, selalunya tidak meneliti laporan EIA yang tebal itu, sehinggalah kesannya zahir di mata mereka.

Seperti Loji Bahan-Bahan Maju Lynas (Lamp) di Gebeng yang memulakan pembinaan pada 2020.

Sejak 2008, ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh menjadi suara tunggal yang membangkitkan kebimbangan mengenai Lamp di parlimen. Penduduk hanya mula sedar dan menguruskan sendiri bantahan mereka selepas Lamp diluluskan dan sudah pun dalam pembinaan.

Selepas bertahun-tahun protes dijalankan, Lynas akhirnya bersetuju memindahkan proses pemecahan dan larut lesap (cracking and leaching) yang menghasilkan sisa penulenan air larut lesap (WLP) yang beradioaktif, balik ke Australia Barat pada Julai 2023.

Ia merupakan sebahagian daripada perjanjian dengan kerajaan PH pada 2019 sebagai balasan kerajaan ketika itu memanjangkan lesen operasi mereka.

Meskipun keradioaktifan WLP dianggap rendah, sisa itu terkumpul sejak 2012 dan akan terus berkumpul sehingga 2023.

Isu inilah yang melibatkan pembabitan Bukit Ketam.

 Laporan EIA menganggarkan bahawa pada September 2023, Lynas akan mengumpul 1.037 juta meter padu WLP, cukup untuk mengisi 415 kolam renang Olimpik.

Cecair terawat dilepaskan ke sungai

Buat masa sekarang, sisa WLP itu disimpan di kilang Lyang di Gebeng, dekat Pelabuhan Kuantan. Ia akan dipindahkan ke tapak PDF baru yang lebih jauh ke pedalaman apabila tapak itu siap nanti.

PDF Lynas akan menempati 58.25 hektar tanah daripada 202.35 hektar keluasan MCISWDS.

PDF Lynas akan terdiri daripada dua sel simpanan, lagun, loji rawatan bahan larut lesap (LTP), kolam penahan dan bangunan pentadbiran - ini berdasarkan laporan EIA yang disediakan oleh AGV Environment Sdn Bhd.

Sel tersebut adalah untuk simpanan kekal sisa WLP Lynas, sememtara kolam penahan pula adalah tempat simpanan sementara air hujan tidak tercemar dan membolehkan pelepasan terkawal dilakukan bagi mengelakkan banjir.

Lagun pula untuk menyimpan air hujan tercemar oleh WLP.

Sel PDF, yang merupakan lubang besar yang digali di dalam tanah, dikukuhkan dengan bahan pembendung, dengan saiz 1.35 juta meter padu, iaitu bersamaan dengan 540 kolam renang Olimpik.

Salah satu komponen terpenting ialah LTP, yang akan merawat air hujan yang tercemar oleh WLP, sebelum melepaskan air terawat itu ke dalam Sungai Ara.

Sungai Ara berhubung dengan Sungai Riau yang mengalir ke Sungai Kuantan - lokasi terletaknya Takungan Air Kobat. Takungan air ini menyalurkan air ke Loji Rawatan Air Semambu, yang beroperasi untuk 781,000 pengguna di Kuantan.

“Komposisi aliran permukaan aktif (active surface runoff) daripada sel PDF tidak sesuai dilepaskan ke anak sungai Sungai Ara. Oleh itu, ia akan disimpan di lagun WLP sebelum dihantar ke LTP untuk rawatan.

“Efluen (buangan) itu akan dilepaskan ke anak-anak sungai kepada Sungai Ara, yang secara alaminya bersifat efemeral (sementara / mengalir pada musim hujan dan kering pada musim kemarau),” kata laporan EIA itu.

Pembersihan tanah untuk pembinaan tapak itu dijangka bermula pertengahan bulan ini, dan pembinaan PDF dijangka siap pada September 2024.

Tiada ulasan: