Selasa, 9 Februari 2021

Had jemaah sembahyang Jumaat, fardu di Perak dinaikkan ke 120 orang

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memberi perkenan had maksimum jemaah untuk sembahyang Jumaat, sembahyang fardu dan sembahyang jenazah di masjid serta surau dinaikkan kepada 120 orang berbanding 40 sebelum ini, tidak termasuk ahli jawatankuasa dan pegawai rumah ibadat berkenaan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Mohd Annuar Zaini berkata Sultan Nazrin memberi perkenan tersebut berlandaskan nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak serta pandangan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negeri Perak.

Bagaimanapun, katanya bagi kawasan yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) semua aktiviti agama termasuk sembahyang Jumaat dan sembahyang jemaah di masjid dan surau adalah tidak dibenarkan.

Menurut Mohd Annuar, bagi Masjid Sultan Idris Shah yang merupakan masjid negeri, Masjid Sultan Azlan Shah Ipoh serta Masjid Ubudiah Kuala Kangsar dan masjid-masjid utama di setiap daerah dibenarkan menerima had maksimum 250 jemaah.

"Masjid dan surau dalam kawasan kem tentera, kem polis, kampus universiti, maktab, kolej dan politeknik had maksimum jemaah adalah 250 orang dengan keutamaan dan dibataskan kepada anggota kem serta warga kampus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Annuar, kebenaran sembahyang Jumaat diadakan di semua masjid dan surau termasuk di kem tentera, kem polis, bangunan pejabat, institusi, universiti, maktab, sekolah, syarikat dan kilang bertujuan membolehkan lebih ramai jemaah berpeluang menunaikan sembahyang itu.

Katanya jemaah yang dibenarkan terhad kepada lelaki warganegara Malaysia berumur 16 hingga 70 tahun dan mereka dinasihatkan membawa beg menyimpan kasut yang boleh dibawa ke dalam masjid dan surau.

Menjelas lanjut, Mohd Annuar berkata aktiviti agama berunsur ilmu dibenarkan di masjid dan surau selepas sembahyang maghrib sementara menunggu waktu sembahyang isyak dan ia perlu dihentikan selepas itu.

Selain itu, sementara menunggu azan sembahyang Jumaat, aktiviti kuliah ilmu boleh diadakan tidak melebihi 20 minit manakala acara jamuan dalam masjid dan surau termasuk di perkarangan adalah dilarang di samping jemaah perlu mematuhi penjarakan fizikal.

Mohd Annuar berkata, Sultan Nazrin memahami hasrat umat Islam mahu mengimarahkan rumah-rumah Allah dan beribadah secara berjemaah namun baginda perlu mengutamakan faktor keselamatan serta kesihatan jemaah serta menimbangkan tugas berat dihadapi petugas Kementerian Kesihatan dalam menangani Covid-19.

"Perkenan baginda untuk menambah atau mengurangkan bilangan jemaah tertakluk kepada status semasa penularan wabak Covid-19 di Perak dan baginda menzahirkan titah nasihat agar semua masjid dan surau menganjurkan solat hajat secara harian, memohon bencana kesihatan yang melanda dunia ketika ini berjaya dibendung dan kehidupan insan kembali normal," katanya.-Bernama

Tiada ulasan: