JELEBU: Sekumpulan guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Putra, Simpang Durian, di sini, sanggup meredah perjalanan sejauh 80 kilometer bagi menyerahkan modul Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kepada murid Orang Asli bagi memastikan mereka dapat mengikuti pembelajaran dengan baik.
Langkah itu berikutan murid Orang Asli terbabit tidak dapat mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian seperti rakan lain kerana kekangan kemudahan telekomunikasi.
Guru Besar SK Putra, Syed Zulkafli Syed Abdul Karim, berkata pihaknya mengambil masa dua hari bagi menyerahkan semua modul berkenaan kepada 152 murid.
Katanya, ini berikutan 95 peratus murid sekolah itu adalah anak Orang Asli yang datang dari pelbagai kampung di Negeri Sembilan dan Pahang.
"Apa yang kita lakukan ini sebagai tanggungjawab sosial guru kerana menyedari kesukaran mereka terbabit belajar secara dalam talian.
"Kita bukan saja menyerahkan modul, tetapi turut mengambil kesempatan mengajar mereka dalam lawatan yang disertai 10 guru itu," katanya.
SK Putra antara empat sekolah Orang Asli yang ada di Negeri Sembilan, selain SK Sungai Sampo, Jempol ; SK Senibai, Johol, Kuala Pilah dan SKTekir, Labu, Seremban.
Sementara itu, murid Tahun Lima sekolah berkenaan, Azuannizan Along, 11, berkata dia terharu dengan pengorbanan guru yang sanggup datang ke rumahnya menghantar modul PdPR bagi memastikan mereka dapat mengulangkaji pelajaran.
"Kampung kami tiada liputan internet, sekali gus menyukarkan saya belajar secara dalam talian seperti murid yang ada kemudahan itu.
"Saya pernah meminta bapa pergi ke sekolah mengambil modul PdPR, namun dilarang pengurusan sekolah yang memaklumkan modul itu akan dihantar sendiri oleh guru," katanya yang tinggal di Kampung Orang Asli Hulu Semei, dekat Manchis, Bentong, Pahang.
Bagi Jeni Pairin, 12, dari Kampung Orang Asli Batu Ibong, Jelebu, kampungnya juga tiada kemudahan internet bagi membolehkannya belajar secara dalam talian.
Katanya, dia gembira kerana guru sekolahnya datang ke rumah yang terletak kira-kira 50 kilometer dari sekolah.
"Cikgu juga memberi kad sim, namun hanya boleh digunakan untuk membuat panggilan dan menghantar serta menjawab sistem pesanan ringkas (SMS) saja.
"Biarpun belajar menggunakan modul disediakan, ia lebih baik berbanding jika terus tidak belajar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan