Ahad, 21 Februari 2021

Empat pelacur WeChat dicekup

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
SALAH seorang wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah hotel bajet di bandar raya Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA: Selepas setahun menjalankan kegiatan khidmat seks melalui aplikasi WeChat, empat wanita warga asing akhirnya dicekup dalam serbuan di sebuah hotel bajet di bandar raya Melaka di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira dua jam bermula pukul 7.30 malam itu, kesemua yang dicekup berusia antara 28 tahun hingga 38 tahun terdiri daripada warga Kyrgyzstan, Indonesia dan Vietnam.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen (JIM) Melaka, K. Vishnutharan berkata, tangkapan itu adalah hasil risikan selepas mengesan kegiatan tidak bermoral itu yang mengambil tempahan seawal pukul 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam.

Katanya, wanita-wanita tersebut menawarkan khidmat seks pada kadar RM200 sehingga RM350 bagi tempoh 45 minit setiap pelanggan.

“Difahamkan, aktiviti tidak bermoral ini menerima antara satu hingga lima tempahan setiap hari bagi setiap wanita warga asing itu yang mana kebanyakan pelanggannya terdiri daripada lelaki tempatan.

“Bayaran khidmat seks itu dibuat secara tunai kepada wanita terbabit sebelum dikutip oleh penjaga setelah selesai tempahan. Hasil kegiatan itu kemudian diagihkan iaitu RM100 kepada pelayan, manakala baki kepada penjaga,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, turut dirampas adalah beberapa pek kondom, botol gel pelincir, dua pasport, resit tempahan bilik dan wang tunai berjumlah RM2,000 dipercayai hasil daripada aktiviti tidak bermoral tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil soal siasat, kesemua yang ditahan mengakui melakukan kegiatan itu sejak tahun lalu, namun terpaksa bertukar-tukar lokasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan dan Pergerakan (PKP).

Ujarnya lagi, dalam serbuan itu juga, dua saman kepada saksi (Borang 29) dikeluarkan kepada seorang lelaki warga tempatan dan pekerja hotel bagi membantu siasatan.

“Kesemua wanita warga asing tersebut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu tinggal lebih masa dan Seksyen 6 (1) (C) akta sama kerana tiada dokumen pengenalan diri.

“Mereka akan dibawa untuk membuat ujian saringan Covid-19 di pusat kesihatan berhampiran terlebih dahulu sebelum dihantar ke depot tahanan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: