Melalui jalan dalam hutan yang sempit, berlumpur dan dinaiki air turut menguji keberanian terutama guru wanita yang sebelum ini tidak pernah sampai ke kawasan pendalaman itu.
Guru Besar SK Mambang, Zafran Zainuddin, 53, berkata, bagi memastikan murid tidak terus ketinggalan dalam pelajaran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) guru perlu berkorban untuk menjelajah ke setiap kampung walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.
Katanya, terdapat seramai 126 murid Orang Asli menetap di 13 kampung dan 127 murid Melayu berada di 10 kampung yang memerlukan bimbingan secara berterusan.
"Setiap minggu guru akan bergilir ke setiap kampung Orang Asli untuk mengajar selain menghantar kertas kerja latihan murid, termasuk menyerahkan buku teks untuk mereka membuat ulang kaji sebelum berpeluang ke sekolah.
"Guru terpaksa berkorban membantu murid Orang Asli sepanjang PKP ini kerana kebanyakan mereka tidak memiliki kemudahan komputer riba dan telefon bimbit manakala kampung yang jauh di pedalaman turut menyebabkan capaian internet terlalu lemah," katanya selepas memantau proses PdPR di Kampung Orang Asli Tasik Mentiga, di sini semalam.
Lima guru terbabit mengajar murid di dalam pondok yang disediakan penduduk kampung.
Zafran berkata, SK Mambang bertuah kerana memiliki dua guru Orang Asli, Nur Adilla Tan Abdullah dan Aida Bakar yang banyak membantu melancarkan proses PdPR dengan murid Orang Asli di 13 kampung masyarakat berkenaan.
Bagi Nur Adilla, 51, banyak cabaran dihadapi setiap kali berkunjung ke kampung Orang Asli untuk mengajar murid, namun demi tugas dan tanggungjawab semua diharungi.
"Dikejar anjing antara cabaran setiap kali berkunjung ke Kampung Orang Asli dan saya terpaksa meminta bantuan penduduk setempat untuk menghalau haiwan belaan mereka.
"Disebabkan licin rakan saya pernah terjatuh dalam paya ketika meniti jambatan. Kami juga terpaksa melalui perjalanan hingga 15 kilometer untuk sampai ke kampung paling hujung sekali," katanya yang berpengalaman 24 tahun sebagai guru.
Katanya, setiap kali berkunjung ke kampung Orang Asli untuk mengajar ada ketika murid tidak keluar rumah, guru terpaksa memujuk dan menyediakan makanan bagi menarik minat mereka.
Kerjasama keluarga murid dan batin dapat membantu usaha guru untuk mengajar.
Nur Adilla yang mengajar mata pelajaran bahasa Melayu dan Sains, berkata keikhlasan memberi pendidikan kepada murid Orang Asli, senjata utama guru SK Mambang bertugas sepanjang PKP ini.
Rakannya, Ahmad Farnizan Mohamad, 41, berkata, walaupun penat menunggang motorsikal untuk sampai ke kampung Orang Asli yang jauh di pedalaman, perasaan puas dan seronok dirasakan apabila dapat bertemu murid meskipun jumlah mereka tidak ramai.
"Selain mengajar secara bersemuka pihak sekolah juga ada menyediakan kertas kerja latihan untuk disiapkan murid.
"Sebagai guru saya ingin melihat murid Orang Asli berjaya dalam pelajaran, PKP bukan halangan untuk terus ketinggalan dalam pelajaran," katanya yang sebelum ini bertugas di Sarawak.
Ahmad Farnizan tidak merasakan bebanan berat dan menyusahkan sepanjang proses PdPR yang memerlukannya berkunjung ke kampung Orang Asli yang jauh di dalam hutan, hanya semata-mata untuk menunaikan amanah diberikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan