Khamis, 11 Februari 2021

Bantuan RM1 juta untuk koperasi terjejas banjir

Oleh MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN
WAN Junaidi Tuanku Jaafar menerima replika cek bantuan 
kecemasan koperasi terjejas banjir daripada Pengerusi Suruhanjaya 
Koperasi Malaysia, Datuk Nordin Salleh di Putrajaya hari ini.

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan bantuan kecemasan sebanyak RM1 juta bagi membantu koperasi-koperasi yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri seluruh negara, baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bantuan tersebut dilakukan secara terus kepada koperasi yang terlibat manakala Surahanjaya Koperasi Cawangan Negeri masing-masing memantau pelaksanaannya.

Beliau berkata, dana bantuan di bawah Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi disalurkan kepada 73 koperasi yang dikenal pasti seperti Pahang (40 koperasi), Terengganu dan Johor masing-masing sembilan koperasi dan Perak (lima koperasi).

Antara lain, Kelantan (tiga koperasi), Sarawak (dua koperasi), Negeri Sembilan, Melaka dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masing-masing satu koperasi turut mendapat bantuan kecemasan berkenaan.

“Bantuan ini digunakan sepenuhnya oleh koperasi untuk menampung kerosakan premis, aset atau produk yang terjejas teruk akibat banjir.

“Inisiatif ini dilihat sebagai salah satu usaha SKM untuk memastikan kesejahteraan dan kelangsungan operasi koperasi terus bertahan serta dibela,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Wan Junaidi menyarankan semua agensi di bawah kementerian itu untuk mempercepat segala bentuk bantuan berkaitan untuk membantu meringankan beban rakyat akibat bencana alam.

“Kerajaan akan memastikan koperasi yang terjejas mendapat perhatian sewajarnya. Diharap harap meningkat kapasiti koperasi untuk menggerakkan semula aktiviti perniagaan agar terus menjadi penyumbang efektif kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Katanya, sehingga semalam, sebanyak RM427,120 bantuan kecemasan telah diluluskan oleh pihak SKM. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: