Jumaat, 24 Julai 2020

Pengilang gesa harga siling pelitup muka diturunkan lagi

Seorang pengeluar pelitup muka berkata ada orang tidak mampu bayar RM1.20 untuk
sekeping pelitup muka.

PETALING JAYA: Seorang ketua syarikat yang membuat pelitup muka menggesa Putrajaya menurunkan lagi harga siling topeng dari RM1.20 kepada 80 sen.

CEO AIdeal Healthcare Sdn Bhd, Haminnuddin Hamid, berkata kos pengeluaran pada masa ini jauh lebih rendah berbanding pada Mac, ketika virus Covid-19 mula merebak di negara ini.

“Situasi sekarang berbeza. Bahan mencukupi. Pengilang telah membuat stok dan permintaan menurun secara global,” katanya kepada FMT.

“Harga siling RM1.20 terlalu tinggi, terutamanya sekarang pemakaian pelitup muka akan diwajibkan bermula 1 Ogos ini.”

Harga baru akan berkuatkuasa mulai 15 Ogos.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi beritahu Dewan Rakyat semalam bekalan untuk pelitup muka mencukupi dan boleh dibeli secara dalam talian bermula 15 Ogos.

Haminnuddin, bagaimanapun, berkata, pengimport yang mendapat bekalan dari luar negara kini boleh menjualnya pada harga RM1.20 dan masih boleh mendapat keuntungan besar kerana pengecualian duti import.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pengilang tempatan menurunkan harga pelitup muka.

Dalam pada itu, jelasnya, akan ada orang yang tidak mampu membayar RM1.20 untuk sekeping pelitup muka. “Jadi, ia masuk akal untuk turunkan harga siling.”

Tambahnya, kerajaan, yang membeli pelitup muka untuk petugas barisan depan, juga akan mendapat keuntungan dengan harga yang lebih rendah.

Beliau menggesa Putrajaya juga membeli pelitup muka yang boleh diedarkan kepada rakyat yang miskin.

Tiada ulasan: