Sabtu, 25 Julai 2020

Mahkamah tidak boleh persoal kesahan prosiding dalam Majlis Parlimen

Manzaidi Mohd Amin
MGF06102017_PELANCARAN-AKTA-INSOLVENSI07-681x454
Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Kesahan apa-apa prosiding dalam Majlis Parlimen atau mana-mana jawatan kuasanya tidak boleh dipersoalkan di mahkamah, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Kata beliau, hal itu dinyatakan mengikut Perkara 63 (1) Perlembagaan Persekutuan, selain merujuk keputusan Mahkamah Tertinggi terhadap kes bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V Sivakumar dan Datuk R Ganesan.

Jelasnya, perkara itu memutuskan sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan ialah Dewan mempunyai kuasa untuk memilih atau memecat Speaker dan isu siapa yang dilantik secara sah sebagai Speaker adalah terletak di luar bidang kuasa mahkamah untuk membuat penghakiman.

“Malah, YB Teluk Intan (Nga Kor Ming) telah meletak jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum usul pelantikan saya di bawah Peraturan Mesyuarat 6, Dewan Rakyat dibacakan.

“Justeru, saya tidak melihat terdapat mana-mana pelanggaran Peraturan Mesyuarat atau Perlembagaan berlaku.

“Bagaimanapun, memandangkan perkara pada masa ini berada dalam pertimbangan mahkamah, saya juga sebagai seorang pengamal undang-undang, menyerahkan kepada pihak mahkamah bagi mengadili perkara tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat Ahli Parlimen lain mengemukakan saman pemula di mahkamah bagi mencabar pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun dan Azalina sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Melalui saman pemula itu, mereka menuntut pengisytiharan pelantikan Azhar dan Azalina pada 13 Julai 2020 adalah tidak sah, tidak menepati serta bercanggah dengan Perlembagaan atau Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan.

Selain Dr Mahathir, turut memfailkan saman pemula itu ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Shahruddin Md Salleh. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: