Isnin, 27 Julai 2020

Peniaga tipu guna alat pengesan suhu tanpa bateri

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
 

SOFFIAN Santong menyoal pelanggan restoran di Lebuh Chulia, Georgetown, Pulau Pinang semalam. - UTUSAN/MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

GEORGETOWN: Pemilik premis menggunakan alat pengesan suhu tanpa bateri antara taktik yang dikesan polis semasa Op Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) daerah Timur Laut, di sini malam semalam.

Dalam operasi dari pukul 8 hingga 10 malam itu, pemilik premis yang beroperasi di Lebuh Chulia di sini antara lebih 22 individu yang dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pemeriksaan di pusat bandar itu bertujuan membendung penularan wabak Co vid-19.

Menurutnya, operasi tersebut melibatkan beberapa kawasan tumpuan pelancong di pusat bandar seperti di sekitar Balai Polis Central, Lebuh Chulia dan Love Lane.

“Antara alasan yang diberikan pelanggan yang dikompaun kononnya mereka tidak tahu tentang kapasiti jarak sosial yang ditetapkan di premis makanan.

“Malah, kita juga ada menemukan alat pengesan suhu tiada bateri dan hanya diletakkan sebagai hiasan di atas meja.

Ini antara tindakan yang tidak boleh kita terima. “Sepatutnya masyarakat sudah memahami lebih awal tentang SOP pematuhan PKPP memandangkan Georgetown adalah lokasi tumpuan pelancongan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sementara itu, kata Soffian, dalam operasi sama sebelah siang, sebanyak 16 kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis dan pelanggan yang melanggar SOP PKPP.

“Lapan kompaun masing-masing dikeluarkan terhadap pelanggan dan pemilik premis kerana tidak mematuhi arahan penjarakan sosial, gagal mencatat kehadiran pelanggan dan suhu badan serta gagal mematuhi SOP pemakaian pekerja salun,” katanya.

Beliau memberitahu, kompaun RM1,000 setiap seorang itu perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan daerah dalam tempoh 14 hari untuk mengelakkan tindakan lanjut diambil.

Operasi tersebut turut mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela). – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: