Beliau mengulas kenyataan media MPKj semalam yang mendakwa peniaga ada mengeluarkan kenyataan mendakwa pegawai MPKj meminta wang suapan punca kelewatan tapak bazar itu beroperasi menerusi dua video yang ditularkan.
“Video tu bila? Video itu selepas sidang media yang turut dihadiri oleh Ahli Majlis MPKj selepas peniaga tak dibenarkan berniaga? Macam mana pula itu jadi alasan MPKj untuk tidak membenarkan berniaga? Sebab tidak dibenar berniagalah kami adakan sidang media.
“Siapa siapa yang berdolak dalik ini? Itu sahaja pun sudah menunjukkan niat menghalang kami berniaga.
“Saya terkilan peniaga didakwa menuduh kakitangan MPKj minta rasuah sedangkan kami mengatakan salah satu kemungkinan kenapa kami tidak dibenarkan berniaga di bazar ini sedangkan di kawasan sekitar telah dibenarkan ialah seolah-olah adanya ‘tangan ghaib’ yang hendak tapak bazar ini.
“Kami cuma minta SPRM atau pihak berkuasa berkenaan menyiasatnya, benar atau tidak. Kami mahukan penjelasan dan kepastian kerana kami tidak ada kuasa untuk menyiasat atau mengambil tindakannya,” katanya dalam satu sidang media bagi menjelaskan kenyataan media MPKj di sini hari ini.
Turut hadir pada sidang media itu, Presiden IKHLAS, Datuk Mohd Ridhuan Abdullah, peguamnya Datuk Azar Irwan Arifin dan penganjur Bazar Malam Seksyen 9 Bangi, Datuk Mohd Shah Taib.
Dalam pada itu, Salmah meminta YDP MPKj turun sendiri ke tapak untuk melihat situasi sebenar peniaga termasuk halangan laluan ke bazar malam.
“Menerusi kenyataan media YDP jelas menunjukkan YDP diberi maklumat yang salah oleh pegawai bawahan dan selagi tiada komunikasi dua hala pastinya banyak maklumat tepat tidak sampai.
“Kami sebagai peniaga banyak yang kami tak tahu, mana yang betul atau salah kerana kami tidak berurusan secara terus dengan MPKj dan PIB. Pengurusan dan pentadbiran adalah antara penganjur ETA, PI Brilliant Berhad dan MPKj serta PKNS.
“Pandanglah kami yang tiada duit untuk makan, kami bukan minta sedekah, kami peniaga kecil tidak menerima sebarang bantuan pun dan mahu usaha sendiri benarkanlah kami berniaga, sedangkan peniaga lain boleh pun berniaga ditepi-tepi jalan langsung tidak ada kaitan pun dengan mana-mana penganjur.
“Kami sudah keluarkan duit yang banyak, bergolok gadai, pinjam ceti untuk mulakan perniagaan di sini,” ujarnya.
Menurut Salmah, walaupun telah diberi lesen berniaga tetapi MPKj tetap tidak membenarkan kami berniaga, hanya tiga hari sahaja.
“Setelah lesen kebenaran berniaga baru yang dibenarkan pada 20 Julai sepatutnya laluan masuk dibuka tetapi tidak. Malah laluan pintu belakang pula ditutup dengan batu simen penghadang. Mohon penjelasan MPKj,” katanya.
Salmah juga memohon penjelasan MPKj kenapakah mereka tidak dibenarkan keluar masuk menggunakan satu-satunya laluan yang ada itu sedangkan laluan itulah yang telah dibenarkan diluluskan oleh MPKj sebagaimana dalam pelan asal.
“Sukacita kami ulangkan bahawa kami bukannya dan langsung tidak berniat untuk berkonfrantasi dengan PKNS, YDP, MPKj, PIB, ETA atau sesiapa sahaja kerana kami adalah orang miskin, B40, ibu tunggal, yang hilang punca pendapatan yang hanya mahu berniaga mencari rezeki dan tidak meminta-minta kepada kerajaan,” katanya.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: *MPKj nafi minta wang lewatkan kebenaran niaga
Tiada ulasan:
Catat Ulasan