Ahad, 26 Julai 2020

24 pendatang Rohingya dikhuatiri lemas di Langkawi

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Mohd Zawawi Abdullah berkata, operasi
menyelamat hari ini diteruskan melibatkan 2 aset laut serta sebuah helikopter
merangkumi sektor carian seluas 109 batu nautika persegi barat perairan Langkawi.
(Gambar Bernama)

LANGKAWI: Dua puluh empat pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai etnik Rohingya dikhuatiri lemas di perairan barat pulau ini kira-kira 8 malam tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, Mohd Zawawi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berdasarkan maklumat polis selepas seorang pengadu yang juga seorang PATI memaklumkan beliau terjun dari sebuah bot bersama 24 mangsa ketika kejadian.

Zawawi berkata, pengadu yang dikenali sebagai Nor Hossain, 27, turut mendakwa hanya beliau yang terselamat selepas berenang ke daratan.

“Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi mengatur gerak sebuah aset laut bot Pelindung 2 ke lokasi kejadian, sejurus menerima laporan polis mengenai kejadian tersebut pada 10.30 malam tadi.

“Operasi CARILAMAT hari ini diteruskan melibatkan 2 aset laut kapal KM GAGAH dan bot Pelindung 2 serta sebuah helikopter Agusta Westland AW139 merangkumi sektor carian seluas 109 batu nautika persegi barat perairan Langkawi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zawawi berkata, Maritim Malaysia Kedah dan Perlis menyalurkan maklumat kejadian kepada agensi penyelamat yang lain termasuk komuniti nelayan setempat dan pihak berkuasa Thailand melalui Pusat Penyelaras Penyelamat Maritim Maritime Rescue Coordinator Center (MRCC) Putrajaya bagi membantu pencarian mangsa.

“Komuniti maritim boleh melaporkan tentang sebarang petunjuk atau penemuan mangsa di laut atau di pesisir pantai kepada pasukan penyelamat menerusi talian 999 ataupun menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 atau 04-966 5307,” katanya.

Zawawi berkata, pengadu (Nor Hossain) kini ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Tiada ulasan: