Jumaat, 31 Julai 2020

Program RM750 juta kredit ePENJANA untuk rakyat Malaysia

Wartawan MalaysiaGazette
MGF16102019_Persidangan-Hari-Membasmi-Kemiskinan-Antarabangsa_09-681x454
Tengku Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan mengumumkan pelancaran program RM750 juta kredit ePENJANA iaitu salah satu inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) membantu merancakkan perbelanjaan pengguna di Malaysia.

Di bawah program ini, setiap pemohon yang layak akan mendapat RM50 kredit ePENJANA mulai 31 Julai lalu, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Tiga penyedia perkhidmatan e-dompet yang terpilih untuk melaksanakan inisiatif ini ialah Boost, GrabPay dan Touch ‘n Go eWallet. Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama aplikasi pengesan kontak COVID-19 MySejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk memohon kredit, menurut Tengku Zafrul, setiap pemohon mesti memuat turun salah satu dari tiga eDompet tersebut, serta memuat turun dan menggunakan aplikasi MySejahtera.

Inisiatif ini terbuka kepada rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas serta berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun.

Setiap pemohon yang layak boleh menebus RM50 kredit ePENJANA daripada salah satu penyedia perkhidmatan e-Dompet terpilih (Boost, GrabPay atau Touch ‘n Go eWallet),” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, pemohon yang layak juga akan menerima padanan insentif tambahan bernilai RM50 dalam bentuk rebat tunai, baucar atau mata ganjaran sepanjang tempoh kempen.

Tempoh memohon RM50 kredit ePENJANA adalah dari 31 Julai hingga 24 September 2020, manakala tarikh akhir penggunaan ePENJANA adalah pada 30 September ini, katanya.

Pemohon disaran memuat turun dan mengemas kini data di dalam aplikasi MySejahtera, manakala peniaga dan peruncit perlu menghubungi penyedianperkhidmatan e-Dompet yang berkenaan, dan mendapatkan kod QR MySejahtera bagi memastikan urus niaga ePENJANA yang lancar di kedai-kedai mereka.

Rakyat juga diingatkan bahawa bagi tujuan pelaksanaan ePENJANA, Kementerian Kewangan hanya mengiktiraf aplikasi MySejahtera, Boost, GrabPay dan Touch ‘n Go eWallet. Pastikan data peribadi hanya dikongsi ndengan aplikasi yang rasmi dan sahih.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: